Berkat ibu bapa menabung dapat tunai haji pada usia muda

(Dari kiri) Muhammad Nazirul Fatihi, Muhammad Nazirul Haqimi dan Muhammad Nazirul Hazimi.
- Advertisement -

KUALA NERUS: Siapa sangka berkat sikap menabung ibu dan ayah sejak dari kecil membolehkan tiga beradik dapat menunaikan haji pada usia muda.

- Advertisement -

Rezeki terpilih untuk menunaikan haji itu tidak disangka oleh tiga beradik yang berasal dari Gong Badak apabila dapat bersama melaksanakan rukun Islam yang kelima.

Menurut Muhammad Nazirul Haqimi Zulkeflee, 32, beliau amat bersyukur di atas usaha yang dilakukan oleh ibu bapanya yang mendaftar sejak 2008 membuka peluang untuk menunaikan haji pada usia muda.

“Alhamdulillah pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mak dan ayah saya kerana daftar awal sehingga saya dapat mengerjakan haji pada usia muda,” katanya.

Bercerita lanjut kata beliau, setiap bulan ibu dan bapanya yang bekerja sebagai guru menyimpan antara RM100 hingga RM200 untuk setiap anak.

“Mak ayah saya simpan setiap bulan lebih kurang RM100 lebih setiap seorang untuk dapat melakukan haji pada usia muda ini.

“Duit raya yang dapat juga di simpan dalam tabung haji. Jadi pengorbanan mak dari daftar sampai hari ini, kira bersyukur mak simpan, bukan seorang, empat beradik,” katanya.

Haqimi berkata, walaupun harapan kedua orang tuanya untuk menghantar empat beradik ke tanah suci bersama tidak tercapai tetapi sekurang-kurangnya tiga sudah dimakbulkan.

“Mak ayah kalau boleh nak empat beradik pergi haji sekali. Dapat tawaran empat orang. Tapi disebabkan halangan adik tak boleh pergi, tiga orang ni pun bersyukur,” katanya yang mendapat tawaran menunaikan haji pada bulan Januari tahun ini.

Haqimi bersama adiknya, Muhammad Nazirul Hazimi Zulkeflee dan Muhammad Nazirul Fatihi Zulkeflee antara 139 jemaah haji kumpulan ketujuh yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam tadi untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bertolak ke Madinah pada jam 4 pagi tadi.

Tahun ini, Tabung Haji mengurus seramai 31,600 orang jemaah haji dengan menggunakan 100 penerbangan sewa khas terus ke Tanah Suci. – HARAKAHDAILY 20/5/2024

- Advertisement -