Kedah mohon RM200 juta setahun ganti pengorbanan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, permohonan pampasan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan adalah munasabah berbanding pengorbanan dan sumbangan besar negeri Kedah kepada negara.

- Advertisement -

Menurutnya, jumlah dimohon itu berdasarkan kehilangan hasil dialami berikutan memperuntukkan kawasan tanah negeri ini bagi membangunkan kawasan sawah padi sebagai keselamatan makanan negara yang paling utama.

Kerana ujar beliau yang juga ADUN Jeneri, kerajaan negeri boleh mendapatkan hasil pendapatan lebih tinggi sekiranya sebahagian tanah  sawah padi itu dimajukan sebagai kawasan perindustrian, komersial dan perumahan.

“Cukai tanah yang kerajaan negeri kutip bagi setiap hektar sawah padi adalah RM15, berbanding RM1,000 sehektar bagi tanah perindustrian. Jurangnya sangat besar. Tetapi kita perlu memilih untuk memelihara tanah itu supaya kami dapat terus mengusahakan padi,” jelasnya.

Dalam pada itu, maklum beliau, pampasan berkenaan juga berdasarkan kawasan sawah padi yang telah diperuntukkan untuk pembangunan komersial, industri dan perumahan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Rancangan Pembangunan Daerah (RTD) masing-masing.

Sanusi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, pampasan RM200 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan juga berdasarkan unjuran pertumbuhan baharu untuk membangunkan kawasan sawah padi bagi tujuan komersial, industri dan perumahan dalam setiap lima tahun.

“PM bersetuju dengan permintaan ini tetapi akan ia akan dikaji dahulu oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi, agensi-agensi berkaitan dan termasuk kerajaan negeri juga,” terangnya.

Beliau memaklumkan perkara tersebut adalah berdasarkan perbincangan dan taklimat bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang hadir dalam lawatan rasmi ke Kedah pada 4 April lalu.

Mengulas lanjut jelas Sanusi, sehingga kini Kedah menyumbang 43 peratus beras negara dengan mengorbankan kawasan sawah negeri itu untuk kepentingan berkenaan.

“Maka adalah tidak adil untuk mana-mana pihak memperlekehkan Kedah sebagai negeri yang miskin, sedangkan kita berkorban dengan mengetepikan potensi pendapatan yang besar untuk menyumbang ke arah keselamatan makanan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/5/2024

- Advertisement -