
ALOR SETAR: Sebanyak 120 lot tanah akan dimajukan melalui pembangunan Kampung Tersusun yang membabitkan semua daerah di negeri ini, demikian umum Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim maklum beliau, telah meluluskan sebanyak RM78 juta untuk pembangunan infrastruktur di negeri ketika mengadakan lawatannya ke Kedah, baru-baru ini.
“Antara lain peruntukan itu untuk pembangunan infrastruktur melibatkan jalan, parit, taman permainan kanak-kanak dan sekiranya terdapat kawasan lapang dicadangkan juga untuk dibangunkan surau,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Jeneri menyatakan perkara itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Sanusi dalam pada itu kata turut memberitahu, pihaknya juga memohon kelulusan peruntukan untuk penutupan saliran ‘discharge’ di Taman Angsana dan Taman Selasih, Kulim.
“Saliran yang dibina di bawah tanah itu tu pecah. Tapi bukanlah isu baru, kes lama. Sejak (tahun) 2017 lagi (pihak kerajaan) telah dibuat keputusan tutup saliran tu.
“Dulu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bina saliran bawah tanah itu pada tahun 1985, tapi waktu itu taman perumahan tak banyak lagi, sekarang dah banyak.
“Jadi kita ambil keputusan nak tutup saliran tu nak buat baharu tapi kosnya agak tinggi iaitu RM45 juta,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 15/5/2024











