Misi Kemanusiaan: Kenapa asyik Afrika?

Misi Bantu dan Santuni Umat Islam Miskin Kenya (Siri 1)

- Advertisement -

BAGI mereka yang perasan, akan terdetik di hati kecil, kenapa Yayasan Amal Malaysia selalu sahaja turun ke negara negara Afrika untuk misi bantuan kemanusiaan, aktiviti kurban dan akikah, pembinaan masjid, dana anak yatim, wakaf Al Quran, wakaf telaga air dan pelbagai lagi. 

- Advertisement -

Bagi saya jawapannya ringkas sahaja. Afrika adalah bumi bertuah. Ia tanah penuh warna, yang dicoret pelbagai dugaan dan ujian. Sebut sahaja penularan penyakit penyakit berbahaya dan membawa maut, Afrika-lah yang sering menjadi medan. Perang saudara, konflik keganasan, pembunuhan, penghapusan etnik, terlalu subur terjadi zaman berzaman. Pecah dan perintah, jajah dan kaut hasil mahsul negara oleh kuasa kuasa Eropah, juga melakar sejarah yang tidak sedikit di benua ini. 

Malahan sejak rakyat Malaysia memiliki televisyen di rumah dan menatap berita berita dunia, gambaran kebuluran, dengan manusia kurus kering tinggal tulang kerangka, dibaluti kulit nipis dengan perut kempis, hanya kepala yang besar, semuanya tergambar dicerita dalam kisah Afrika.

Mereka miskin papa kedana. Rumah dengan selut. Dinding dengan lalang kering, atap jerami, lantai tanah. Minum di lopak dan longkang. 

Yang teruk lagi adalah cuaca ekstrem yang sering melanda. Apabila panas, mereka kemarau hingga kering kontang, garing merekah tanah dan ladang. Panas menimpa sehingga pernah mencapai suhu 55 darjah celcius di Afrika Utara satu ketika dahulu. Dan apabila hujan, boleh jadi hingga banjir besar dan membunuh. Lihat sahaja banjir besar yang melanda Kenya minggu lepas. Ratusan maut dan ribuan rumah kediaman musnah hanyut dan binatang ternakan hilang entah ke mana.

Ringkasnya, boleh dikatakan Afrika adalah bumi penuh ujian dan penderitaan. Berikut kita senaraikan secara ringkas kesusahan dan kesukaran yang pernah umat manusia hadapi di benua umat kulit hitam ini.

Negara Chad: ia adalah salah satu negara termiskin di dunia, dikenali dengan kadar pembangunan yang amat rendah, kewujudan perkhidmatan sosial asas yang sangat terhad, dan pendedahan kepada bahaya iklim serta alam sekitar. Sejak era 1800 hingga kini Chad telah melalui ratusan perang, sama ada perang sivil, konflik saudara, perang penjajahan dan perang antara Chad dengan negara sekitar. Yang paling menyayat hati adalah pada 15 November 1917 ketika peristiwa Massacre des coupes-coupes (dalam bahasa Arab: Kabkab Massacre, مجزرة كبكب) apabila penjajah Perancis memenggal kepala 400 ulama di Chad.

Negara Burundi: Lebih 260,000 pelarian Burundi kekal kehilangan tempat tinggal dan lari ke negara jiran, dengan kebanyakan mereka telah melarikan diri dari Burundi selepas pilihan raya dan keganasan pada 2015. Kemiskinan menjadi isu utama negara apabila Burundi tersenarai sebagai negara termiskin di dunia, dengan 87% penduduk hidup dengan kurang daripada $1.90 sehari ataupun 10 ringgit sahaja. 

Negara Burkina Faso:  Krisis di sini yang kompleks dan tidak menentu terus menyebabkan kemerosotan kualiti hidup rakyat dengan cepat dan teruk. Burkina Faso adalah antara 10 negara termiskin di dunia dengan konflik dalaman yang semakin memuncak, merebak ke seluruh wilayah negara. Ancaman pengganas terutamanya  Al Qaeda dan beberapa kumpulan lain amat teruk sehingga anak anak tidak lagi selamat ke sekolah. Sebelum Covid-19 melanda pada 2019, sebanyak 1,111 daripada 2,869 sekolah telah ditutup di bahagian utara negara, Sahel dan Timur – berada di utara negara yang bersempadan dengan Mali dan Niger di mana militan jihad telah beroperasi selama beberapa tahun. Di wilayah Soum dan Wilayah Sahel, 352 sekolah ditutup.

Negara Cameroon: ia terjejas oleh 3 krisis kemanusiaan serentak dan kompleks: (i) di Far North (berdekatan dengan Tasik Chad dan Nigeria), (ii) di wilayah Barat Laut dan Barat Daya (di mana kumpulan bersenjata memerangi kerajaan), dan (iii ) di negara jiran Republik Afrika Tengah. Masalah lain ialah konflik sosial apabila dianggarkan wujud hampir 120 ribu orang pelacur yang dikenal pasti dan 25% daripadanya adalah pesakit HIV. 

Republik Afrika Tengah: Sejak pilihan raya presiden Disember 2020, Republik Afrika Tengah (CAR) dilanda keganasan yang mana kumpulan bersenjata berperang dengan pasukan kerajaan. Malahan lama sebelum itu pada 2012 apabila Seleka, gabungan kumpulan pemberontak, menuduh kerajaan gagal mematuhi perjanjian damai dan pemberontak Seleka ini yang kebanyakannya beragama Islam menggulingkan Presiden Francois Bozize dan merampas kuasa secara paksa.

Republik Demokratik Congo: Antara konflik utama adalah kemiskinan, kekurangan zat makanan dan wabak penyakit yang kerap lalu menjadikan keperluan kemanusiaan di Republik Demokratik Congo (DRC) adalah antara yang tertinggi di dunia. Pada 2023 serangan berskala besar yang berterusan terhadap orang awam oleh kumpulan bersenjata dan pasukan keselamatan Congo mencetuskan krisis kemanusiaan di mana hampir 7 juta orang kehilangan tempat tinggal dan beribu-ribu yang lain melarikan diri dari negara itu.

Negara Madagascar: 2.29 juta orang kini memerlukan bantuan kemanusiaan segera bermula 2023 sehingga pertengahan 2024 kerana kemarau yang berpanjangan, banjir berulang, taufan dan wabak telah memberi kesan kepada populasi yang sudah terdedah yang tinggal di wilayah Grand Sud dan Grand Sud-Est di negara itu. Dianggarkan wujud 15 hingga 25 peratus muslim di negara ini yang menempati bahagian selatan dan tepian laut, manakala penganut Kristian mendominasi kawasan tanah tinggi. 

Negara Ethiopia: juga dikenali sebagai Habsyah sedang menghadapi krisis bertindih yang berterusan – konflik, bahaya semula jadi (cuaca ekstrem) dan wabak wabak penyakit. Konflik 2 tahun di utara Ethiopia yang berakhir pada November 2022 menyaksikan ratusan ribu dilaporkan terbunuh dan berjuta-juta kehilangan tempat tinggal. 

Negara Mali: Krisis yang kompleks sedang menjejaskan negara ini yang mana ia didorong oleh konflik dan ketidakamanan, mencetuskan (i) perpindahan penduduk secara besar-besaran, (ii) ketidakstabilan sosio-politik, (iii) kejutan iklim dan wabak, dan (iv) tahap ketidakselamatan makanan dan pemakanan yang tidak pernah berlaku pada dekad sebelumnya. Pada akhir 2023, hampir satu perempat daripada penduduk Mali mengalami kekurangan makanan yang sederhana ataupun akut. Sementara itu, buat pertama kalinya di negara ini, lebih 2,500 orang berisiko kebuluran di wilayah Menaka yang dilanda krisis, kebanyakannya kanak-kanak.

Negara Mauritania: rantau ini adalah salah satu negara termiskin di dunia. Seperti negara Sahel yang lain, Mauritania terjejas oleh kejutan dan risiko berulang-ulang. Seramai 2.3 juta orang, atau 56.9% penduduk hidup dalam kemiskinan multidimensi. Golongan ini terpinggir secara purata dalam 56.3% daripada hak pendidikan, kesihatan, taraf hidup dan pekerjaan. Krisis bertambah buruk apabila pribumi berkulit hitam berterusan bertempur dengan pihak berkuasa dalam isu Arabisasi.

Negara Mozambique: Keadaan keselamatan di Cabo Delgado, Mozambique Utara masih tidak menentu dengan 1.7 juta orang masih memerlukan bantuan dan perlindungan kemanusiaan. Sehingga kini lebih 709,000 orang masih kehilangan tempat tinggal akibat keganasan yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata dan kesan krisis iklim melampau. Dalam tempoh 35 tahun yang lalu, ia telah mengalami 75 bencana yang diisytiharkan: 13 kemarau, 25 banjir, 14 siklon tropika dan 23 wabak. Pada tahun-tahun akan datang, kekerapan kemarau, yang kini berlaku setiap tiga hingga empat tahun di Mozambique, akan meningkat akibat peningkatan suhu global.

Negara Somalia: Selama beberapa dekad, Somalia telah mengalami konflik yang berpanjangan dengan keadaan cuaca yang melampau. Kemarau baru-baru ini contohnya telah menyebabkan 90% negara berada di bawah keadaan kering yang melampau. Lima musim hujan (berturut-turut) telah gagal, kemarau kekal, memberi kesan kepada lebih 8 juta orang. Tahun 2022 memperlihatkan 43 ribu mati kerana kemarau. Krisis perang pula, sejak dahulu telah menyebabkan 500 ribu orang maut manakala 1.5 juta menjadi pelarian. 

Negara Sudan Selatan: 9 juta orang iaitu 72% daripada penduduknya, memerlukan bantuan kemanusiaan pada tahun ini manakala 7.1 juta orang dijangka mengalami masalah kekurangan makanan yang teruk antara April hingga Julai 2024, dengan beribu-ribu dijangka hidup dalam keadaan kebuluran. Terlalu banyak perang antara kaum di sini antaranya perang Murle-Nuer, perang Dinka-Nuer, perang Murle-Dinka, perang Shilluk-Dinka, perang Fertit-Jur-Dinka, perang Equatorian-Dinka, perang Dinka-Arab dan puluhan yang lain telah menyebabkan negara ini terus tidak stabil dan berada dalam ketidaktentuan. 

Negara Nigeria: Di Timur Laut Nigeria, 8.4 juta orang manusia memerlukan bantuan kemanusiaan yang mana sehingga kini, 4.4 juta mungkin bergelut untuk mencari makanan yang mencukupi semasa musim kemarau (Jun-Ogos) iaitu 25% meningkat saban tahun. Krisis semakin teruk apabila kumpulan Boko Haram meletuskan perang bersenjata hingga mewujudkan jutaan pelarian, kehilangan sekuriti makanan dan isu isu sanitasi serta kebersihan. 

Negara Sahel: Keperluan kemanusiaan di Sahel terus meningkat disebabkan kesan gabungan konflik yang semakin ganas, kemiskinan yang mendalam, perubahan iklim, dan ketidakamanan makanan serta kekurangan zat makanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Lebih daripada 4.2 juta orang telah dipindahkan di seluruh rantau ini (sehingga 2023). 3.7 juta orang kehilangan tempat tinggal secara dalaman di rantau ini (sehingga 2023) dan lebih 10 juta kanak-kanak di Sahel sangat memerlukan bantuan kemanusiaan (sehingga 2022). Kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap di Sahel termasuk banjir bersejarah dan kemarau menekan produktiviti pertanian, mengakibatkan kehilangan pendapatan dan aset setempat.

Negara Sudan: Pertempuran bersenjata ganas berlaku di Khartoum pada 15 April 2023 antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF). Pertembungan ini dengan cepat merebak ke pinggir dengan pasukan lain terlibat, termasuk di negeri Darfur, Gezira, dan Kordofan. Sehingga 21 Januari 2024, sekurang-kurangnya 13,000–15,000 orang telah terbunuh dan 33,000 yang lain cedera. Sehingga 21 Mac pula lebih 6.5 juta orang kehilangan tempat tinggal dan lebih dua juta yang lain telah melarikan diri dari negara itu sebagai pelarian, dan ramai orang awam di Darfur telah dilaporkan mati sebagai sebahagian daripada pembunuhan beramai-ramai Masalit 2023. Krisis perang di Sudan berlarutan lebih puluhan tahun. 

Negara Uganda: ia menjadi tuan rumah populasi pelarian terbesar di Afrika dan ke-6 terbesar di dunia. Hampir 60% daripada lebih 1.5 juta pelarian berasal dari Sudan Selatan dan lebih 30% dari Republik Demokratik Congo. Negara kecil ini yang terletak di dataran tinggi Afrika Timur, menghadapi banyak masalah alam sekitar kerana negara secara keseluruhannya bergelut dengan kemiskinan dan kekurangan teknologi. Tiga isu yang terbesar ialah penebangan hutan, degradasi tanah, dan pencemaran air.

Afrika Selatan dan Lautan Hindi : Kejadian cuaca ekstrem kerap berlaku di kawasan Afrika Selatan dan Lautan Hindi. Jenayah dan keganasan adalah isu serius di seluruh Afrika Selatan, termasuk pembunuhan, rogol, serangan, kekurangan makanan dan minuman, rompakan dan rompakan kereta.

Negara Zimbabwe: di sini kejutan iklim adalah isu berulang-ulang, termasuk banjir dan kemarau yang bertambah buruk oleh El Niño, persekitaran ekonomi yang berlarutan dan merosot serta wabak penyakit yang kerap terjadi menyebabkan kira-kira 2.6 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan. Penularan HIV telah menurun daripada 26.5 peratus pada tahun 1997 kepada 14.3 peratus setakat ini, namun Zimbabwe mengekalkan kadar kelaziman HIV kelima tertinggi di dunia. Rantau ini mengalami lebih daripada satu abad penjajahan British dan pemerintahan minoriti kulit putih. Ia hanya memperolehi kemerdekaan pada tahun 1980, lebih lewat daripada kebanyakan jajahan Britain yang lain di Afrika. Sebelum itu minoriti 225,000 orang kulit putih memerintah lebih 5 juta orang kulit hitam melalui penindasan dan pembunuhan kejam.

Negara Niger: ia terus mengalami keperluan kemanusiaan yang ketara akibat konflik, perpindahan, ketidakamanan makanan, kekurangan zat makanan kanak-kanak dan wabak. Keganasan yang terjadi menjejaskan beberapa wilayah dan terus memaksa orang ramai meninggalkan rumah mereka. Kadar kemiskinan tegar mencecah 52.0% pada 2023 disebabkan oleh pertumbuhan per kapita negatif dan peningkatan inflasi, berbanding 2022 manakala populasi tersangat miskin meningkat sebanyak 1.1 juta menjadikan jumlah keseluruhan kepada 14.1 juta orang pada 2023. 

Negara Kenya : ia menempatkan hampir 700,000 pelarian dan pencari suaka. Mereka bergantung kepada bantuan kemanusiaan, walaupun untuk keperluan asas mereka. Inilah negara yang menjadi fokus utama bantuan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan tahun ini. Akan ditulis dan bersambung dalam Siri Kedua nanti “Kenapa Asyik Afrika?”.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 3/5/2024

- Advertisement -