Petronas penuhi impian pesakit kanser tulang

Kakitangan Petronas turut meraikan Siti Zubaidah dan keluarga di LTSIP.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Impian seorang pesakit kanser tulang untuk melihat kehidupan marin secara dekat akhirnya tertunai apabila dibawa ke Aquaria Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

- Advertisement -

Siti Zubaidah Zulkefli, 17, terpilih sebagai penerima Petronas 50 Dreams menerusi program Misi Menunaikan Impian untuk kunjungan ke KLCC.

Sempena lawatan itu beliau bersama keluarga akan dibawa melawat Aquaria KLCC, Suria KLCC, Dek Pemerhatian tingkat 86, penginapan satu malam dan makan malam di hotel lima bintang pada Sabtu.

Beliau ditemani ibu bapa saudaranya, Zakaria Sulaiman, 49, (kerja kampung) dan Inon Rahmat, 51, (suri rumah) serta dua sepupunya turut diraikan dalam sesi lawatan itu bermula hari ini.

Anak yatim dari Kampung Air Papan, Batu Melintang, Jeli itu menghidap kanser tulang paha kanan tahap dua sejak dua tahun lalu.

Beliau yang pada asalnya bercita-cita untuk menjadi doktor, namun terpaksa berubah hasrat kerana keadaannya kini.

Zubaidah mengakui sangat berminat dengan dunia sains terutamanya kehidupan laut tetapi tidak pernah pun bermimpi untuk menjejakkan kaki ke KLCC.

“Petronas membantu saya untuk mencapai impian yang tak tahu bila-bila akan dapat dicapai sendiri, terima kasih Petronas,” katanya ketika ditemui media di Balai Perlepasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Siti Zubaidah yang kematian ibu kandung sejak dia berusia lima bulan dan diserahkan kepada ibu bapa saudaranya untuk dijaga sehingga kini.

Beliau akhirnya menjadi adik beradik susuan kepada dua orang sepupunya dan diibaratkan sebagai anak sulung dalam keluarga berkenaan.

Sebelum ini beliau tidak dapat berjalan selama dua bulan kerana sakit di bahagian pahanya sehingga lutut.

“Saya sakit paha selama sembilan bulan dan menyangkakan hanya sakit urat biasa.

“Selepas mengetahuinya kanser, saya menjalani rawatan kemoterapi dan setakat ini sel kanser tidak merebak dan tulang paha tu juga menurut doktor ianya dalam keadaan baik dan tidak rosak,” katanya.

Siti Zubaidah yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Melintang berkata, dia juga terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM) untuk pemeriksaan susulan.

Memandangkan keluarga itu tidak mempunyai kenderaan sendiri, dia terpaksa menyewa kereta setiap kali untuk ke HUSM apabila menerima rawatan susulan.

“Kami ingin mempunyai kemudahan pengangkutan sendiri bagi tujuan rawatan ke HUSM setiap bulan bagi pemeriksaan susulan supaya tidak perlu menyewa kereta seperti sekarang.

“Saya juga ingin memiliki telefon pintar untuk mengabadikan gambar kenangan bersama orang tersayang, tetapi itulah kami tidak mampu,” katanya.

Sementara itu, Inon memberitahu beliau dan suami terpaksa membelanjakan sekitar RM500 untuk setiap kali rawatan susulan.

Katanya, jumlahnya akan bertambah sekiranya Zubaidah terpaksa ditahan di wad untuk rawatan susulan.

“Kalau sewaktu kena kemo, kena pakaikan lampin pakai buang dan berminggu-minggu terpaksa tinggal di hospital,” ujarnya lagi.

Beliau bagaimanapun bersyukur, kerana menurut pegawai perubatan membayangkan Zubaidah mempunyai harapan untuk sembuh.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, selain menunaikan impian Siti Zubaidah untuk melawat KLCC, Petronas juga akan membantu menyediakan pengangkutan untuk berulang alik hospital kepada remaja itu.

“Kami berharap sumbangan ini akan mempermudahkan urusan Siti Zubaidah menjalani rawatan di samping itu, lawatan ke Kuala Lumpur akan menceriakan mereka sekeluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/4/2024

- Advertisement -