
KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC) menunjukkan aksi menarik ketika menentang Sri Pahang FC (SPFC) pada perlawanan pramusim di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Rata-rata penyokong dan peminat melahirkan perkara yang sama apabila agak sukar pihak lawan untuk menewaskan KDN FC sejak awal lagi.
Penolong ketua jurulatih pasukan, Rezal Zambery ketika memberitahu media mengakui pihaknya berpuas hati dengan permainan dipamerkan skuad Kijang Emas itu.
Namun tambah beliau, banyak perlu diperbaiki memandangkan perlawanan tersebut aksi kedua setakat ini.
Rezal berkata, banyak perkara positif berlaku terutamanya daripada segi peningkatan kecergasan pemain meskipun tewas 0-1 ke atas pelawat hasil jaringan Stefano Brundao.
“Kita cipta peluang hanya tidak dijadikan kepada jaringan tetapi kesungguhan pemain saya nampak sudah semakin baik, cuma kesilapan kita sedikit menyebabkan kita kena gol.
“Kita lihat keserasian pemain, ada masa untuk kita perbaiki untuk menghadapi saingan akan datang,” katanya.
Mengulas berkenaan penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR), Rezal berkata, alatan teknologi itu adalah perkembangan yang baik bagi semua pasukan dan membantu pengadil membuat keputusan lebih jelas.
Katanya, dengan penggunaan VAR, tidak ada lagi pertikaian kedua-dua pasukan kerana mempunyai beberapa pasang mata yang melihat keadaan ketika perlawanan.
“Ini petanda baik untuk liga kita, jadi saya rasa VAR patut diteruskan pada masa akan datang dan tindakan bagus oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya.
Sementara itu, Presiden KDN FC, Rozi Muhammad, pula berkata kehadiran penonton yang melebihi 3,000 orang menandakan ada sinar baharu untuk KDN FC melakar kejayaan yang lebih baik pada pramusim kedua Mei nanti yang dijadualkan bertemu Negeri Sembilan FC di tempat sendiri.
Beliau turut menyifatkan skuad KDN FC beraksi dengan cemerlang pada malam tersebut menerusi pelbagai pengalaman yang diperturunkan oleh pemain.
“Tahniah kepada pemain yang telah beraksi dengan cemerlang pada malam ini.
“Gunakan pengalaman yang berguna ini untuk bangkit dengan melakukan persembahan yang lebih baik berjuang pada perlawanan pra musim akan datang,” katanya kepada media.
Pada masa yang sama beliau berharap keserasian antara pemain akan tingkatkan prestasi dalam memberi fokus pada setiap perlawanan.
“Saya percaya KDN FC boleh memberi pulangan yang berharga buat peminat bola sepak Kelantan,” katanya.
Sementara itu, KDN FC akan menentang Negeri Sembilan FC menerusi perlawanan persahabatan pada 26 April (malam ini) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. – HARAKAHDAILY 26/4/2024











