
KUALA LUMPUR: Muflis bukan sahaja berlaku di bulan Ramadan, tetapi juga berlaku di bulan-bulan yang lain; dan sebagai umat Islam, perkara yang paling ditakuti adalah apabila kita muflis pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Golongan yang muflis pada Ramadan adalah golongan yang paling dirisaukan oleh Nabi Muhammad SAW.
Namun, muflis yang dimaksudkan bukanlah dari segi harta mahupun wang ringgit, tetapi muflis muflis dalam kalangan umat Rasulullah SAW di akhirat kelak.
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, Rasulullah SAW amat risau dengan umatnya yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan seperti solat, puasa dan zakat, namun semua amalan itu dilempar oleh Allah SWT.
“Mereka ini bukannya golongan yang tiada amalan, tetapi mereka menjadi muflis kerana mereka datang dengan melakukan tiga benda besar iaitu datang dengan keadaan mencaci maki, memfitnah orang dan kemudiannya memakan harta orang lain”, ujarnya.
Hal ini menurut beliau, diburukkan lagi jika mereka menumpahkan darah orang lain iaitu dengan membunuh, dan memukul atau mencederakan orang lain.
“Jika perkara ini berlaku, segala amalan-amalan baik yang telah dilakukan akan dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang telah dianiaya olehnya.
“Segala amalan solat, puasa, zakat dan sebagainya akan hilang sebab apa? Sebab segala amalan tersebut akan diberi dan dibahagikan kepada orang yang telah dibunuh, dipukul dan dicaci maki tadi,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Zohor Ramadan anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Harakah (BAKKAH) di pejabat Harakah yang juga boleh ditonton melalui Facebook HarakahDaily dan TV Pas.
Beliau menjelaskan lagi, jika melakukan kesalahan-kesalahan tersebut, pahala dan amalan baik yang dilakukan oleh seseorang itu akan diberikan kepada golongan mangsa kejahatan berkenaan.
“Namun, jika tiada sebarang pahala untuk diberikan, orang yang melakukan kesalahan terpaksa menanggung dosa orang yang telah dianiaya.
Oleh yang demikian, beliau menyeru agar kita sebagai umat Islam mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara berkenaan kerana ia boleh membuatkan kita dimasukkan ke dalam api neraka.
“Jadi, untuk mengelakkan muflis di bulan Ramadan, kita perlu menyelesaikan segala masalah di dunia ini (hutang, kemaafan manusia), jangan tunggu sampai akhirat.”
“Seterusnya, berdoalah kepada Allah agar kita mendapat pengampunan Allah SWT dan kemaafan manusia, kerana jika kita dapat kedua perkara itu, ianya merupakan satu perkara yang hebat,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/3/2024




















