PASTI aktiviti parti, bukan tadika bermotif untung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bukan sebuah entiti perniagaan ataupun sebuah tadika, tetapi merupakan program dan aktiviti PAS untuk anak-anak ahli dan penyokong PAS seperti di bawah peruntukan Fasal 62 Perlembagaan PAS (Pindaan) 2020.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menegaskan, kewujudan PASTI sebagai program dan aktiviti PAS adalah diiktiraf di bawah peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

- Advertisement -

Jelas beliau, peruntukan tersebut merupakan punca kuasa yang diberikan kepada PAS untuk menjalankan aktiviti PASTI dan telah wujud sejak tahun 1984 iaitu sudah 40 tahun, selain mempunyai alumni seramai 1.1 juta.

“PASTI tidak diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai tadika atau sebuah institusi pendidikan swasta di bawah Akta Pendidikan 1996. Ibu bapa pelajar PASTI tidak dapat rebat atau pelepasan cukai individu, pemastautin dari LHDN di bawah kategori bayaran yuran, penghantaran anak berumur 6 tahun ke bawah.

“Kerana PASTI bukan sebuah tadika. Ini perlu jelas peruntukan undang-undang yang telah sedia ada. Seterusnya, PASTI bukan bermotifkan keuntungan, ‘non-profit’ punya operasi,” ujarnya pada sidang media di Lobi Parlimen, di sini.

Ahli Parlimen Alor Setar itu membuat sidang media khas tersebut ekoran memo ataupun pekeliling daripada Kementerian Sumber Manusia mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melakukan pemeriksaan di semua premis PASTI.

Bagaimanapun usaha beliau untuk mendapatkan penjelasan daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong tidak diberikan jawapan dikehendaki, sebaliknya Menteri itu hanya mengulang jawapan sebelumnya.

Menurut Afnan, bayaran dikenakan di PASTI adalah paling minimum iaitu untuk menampung kos makan minum, aktiviti, kebajikan pelajar dan kos-kos operasi lain termasuk sewaan dan penyelenggaraan premis.

“Semua ni datang daripada yuran yang minima dan juga derma orang ramai yang dikutip setiap masa,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), sebentar tadi.

Jelasnya lagi, PASTI adalah aktiviti PAS bersifat sukarelawan dalam bentuk pendidikan dan kebajikan di mana menetapkan tempoh bagi menjalankan aktiviti yang memudahkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka.

Maka katanya, guru-guru yang hadir juga mengikut tempoh telahpun ditetapkan itu untuk memastikan kelancaran keselamatan dan aktiviti berjalan dengan lancar, sekali gus PASTI bukan majikan dan guru PASTI bukan pekerja.

Tegas beliau, ia tidak sepertimana ditafsirkan oleh Seksyen 2 Akta Kerja 1950 atau Ordinan Buruh Sarawak Bab 76, sebaliknya guru-guru PASTI adalah sukarelawan PAS yang dipilih dan dilantik dari kalangan ahli PAS dan mereka memberikan khidmat secara sukarela kepada PAS.

“Saya pun hairan kenapa akhir-akhir ni, setelah 40 tahun, di bawah Menteri Sumber Manusia yang baru ini dibuat tekanan ini kepada PASTI. Saya tidak mahu menuduh ada agenda lain.

“Saya bimbang nanti orang akan kata kerajaan yang ada hari ni, nampak tidak begitu suka kepada prasekolah, pendidikan Islam di peringkat prasekolah. Saya tak mahu orang tuduh kerajaan begitu.

“Adakah nak kena tukar nama PASTI ni kepada sekolah rendah jenis kebangsaan agama? Baru diterima? Yang ke seterusnya, guru-guru PASTI adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PASTI di tempat berkenaan.

“Dan lantikan tersebut dibuat, berdasarkan kuasa yang diberi kepada Jawatankuasa Kerja, Dewan Pemuda Negeri yang dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan berdasarkan peruntukan Fasa 60(1) Perlembagaan PAS (Pindaan) 2020.

“Walaupun guru-guru pasti memberikan khidmat secara sukarela dalam menjalankan aktiviti pendidikan untuk anak-anak ahli dan penyokong PAS, namun mereka diberikan sagu hati dalam bentuk kewangan bagi menampung kos perjalanan dan makan.

“Bayaran diberikan ditanggung secara bersama oleh ahli PAS Cawangan atau PAS Kawasan berkenaan berdasarkan kemampuan PAS Cawangan dan Kawasan,” terang beliau.

Tambahnya, antara pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan pihak PASTI telah meluluskan guru PASTI untuk mencarum di bawah skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -