
KOTA BHARU: Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim, berkata usaha menyantuni anak-anak yatim dipandang mulia.
Menurutnya, menyantuni anak-anak yatim adalah amalan sunah Rasulullah SAW yang dijanjikan balasan syurga.
“Kerana itu perbanyakkan program menyantuni anak-anak yatim dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.
Menurutnya, Islam adalah agama yang mengambil berat dan menyayangi anak yatim.
Beliau berkata demikian ketika mengulas program yang dihadirinya malam tadi.
Malam tadi beliau mewakili Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud pada Majlis Berbuka Puasa Perdana bersama Anak Yatim Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Kelantan (PKPIK).
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor.
Pengerusi PKPIK, Dato’ Mohd Nazry Mohamad Nor ketika dihubungi berkata, seramai 380 orang anak yatim dari 11 cawangan seluruh Kelantan dihimpunkan pada program berkenaan.
Menurutnya, mereka dari rumah anak yatim dan dhuafa’, tahfiz serta pondok di bawah naungan PKPIK.
Katanya, program itu juga adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai bahawa PKPIK adalah satu pertubuhan yang sentiasa menjaga kebajikan anak yatim dan dhuafa’.
“Walau bagaimanapun menjaga anak yatim ini adalah tanggungjawab kita semua sebagai seorang Islam,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/3/2024











