
PERNAHKAH kita melihat langit ketika kegelapan malam? Ada bahagian yang gelap dan ada yang cerah disebabkan sinaran cahaya bintang berkerdipan yang menyinari langit sehingga boleh dilihat oleh penduduk bumi.
Begitu jugalah keadaan bumi pada waktu malam jika dilihat oleh penduduk langit. Ada bahagian yang bercahaya dan ada pula yang gelap gelita. Cahaya di sini bukanlah bermaksud cahaya dari lampu jalan atau bangunan, tetapi cahaya yang datang daripada rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
“Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya al-Quran, maka rumah tersebut akan terlihat oleh penduduk langit sebagaimana terlihatnya bintang-bintang oleh penduduk bumi”.
(HR. Ahmad, as-Sahihah no. 3112).
Justeru, hendaklah kita selalu membaca al-Quran di dalam rumah pada setiap masa. Carilah masa untuk membaca al-Quran, memahami maknanya dengan bertadabbur ayat-ayatnya.
Sempena dengan kedatangan Ramadan, marilah kita mengambil peluang untuk bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga pada setiap malam supaya rumah kita bercahaya dengan sinaran keimanan kepada Allah SWT.
Janganlah memandang remeh tentang perkara ini kerana Rasulullah SAW mengumpamakan rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya adalah seperti kubur sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda,
لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنْ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu seperti kubur (tidak membaca al-Quran di dalamnya), sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”. (HR. Muslim no. 780).
Oleh yang demikian, sinarilah rumah kita dengan bacaan al-Quran di dalamnya agar sentiasa bercahaya (dengan cahaya iman dan takwa) sebagaimana cahaya kerdipan bintang di langit seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.– HARAKAHDAILY 7/2/2024




















