Pengeluaran padi merosot 30 peratus kesan El Nino

Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Fenomena El Nino yang melanda Kelantan tahun lalu memberi kesan kepada pengeluaran hasil pertanian sehingga merosot 30 peratus.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pengeluaran hasil padi merosot 30 peratus dengan nilai kerugian RM2.7 juta.

Menurutnya, kemerosotan hasil padi itu melibatkan kawasan seluas 7,800 hektar membabitkan seramai 1,123 petani.

“Selain itu, kerosakan tanaman padi ekoran gangguan binatang, serangga, penyakit dan perubahan iklim yang tidak menentu.

“Sektor ini dianggap 3D iaitu ‘dangerous, difficult and dirty,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini semalam.

Sebelum itu, Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) mengemukakan cadangan untuk menarik minat golongan muda menceburi sektor pertanian.

Selain itu, beliau mencadangkan diberi pengecualian bayaran sewa penggunaan tanah terbiar serta membangun pusat pengumpulan hasil pertanian dan penternakan di kampung.

“Pasukan khas yang menguruskan hasil pertanian dan penternakan seperti dicadangkan ADUN Chetok akan dipertanggungjawab kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan,” ujar Tuan Mohd Saripudin.

Bagaimanapun beliau berkata, sektor pertanian masih kekal penyumbang kedua pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, sektor pertanian menyumbang sebanyak 22.8 peratus di belakang sektor perkhidmatan (69.2 peratus). – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -