
KANGAR: Abdul Karim Omar, 71, dan isterinya, Zabariah Hamzah, 71, menjadikan kebun harumanis yang diusahakan pada 2011 sebagai ‘ladang amal’.
Sejak bersara pada 2011, mereka mengusahakan kebun itu dengan nama Bustan Haji Abdul Karim dengan tujuan utama bukan mencari keuntungan semata-mata tetapi lebih kepada berbuat amal.
Menurut Abdul Karim, kebun itu bukan sekadar tempat mencari rezeki tetapi juga sebagai kaedah menunaikan kewajiban zakat.
Katanya, jika hasil yang diperoleh melebihi 650 kilogram, layak dikeluarkan zakat.
Tiga tahun lalu, dia bersyukur dapat melaksanakan kewajiban zakat setelah menghasilkan buah sebanyak 3,000 biji.
“Alhamdulillah, saya dan isteri mengusahakan kebun ini sejak pencen iaitu tahun 2011, namun tujuan utama bukan mencari keuntungan sahaja, tetapi lebih kepada berbuat amal.
“Contohnya jika hasil yang didapati lebih 650 kilo, maka kita layak mengeluarkan zakat, macam tahun lepas tidak layak sebab hasil kurang.
“Tiga tahun lepas, alhamdulillah, layak keluar zakat sebab dapat hasil 3,000 biji,” katanya.
Lebih unik, kebun itu menamakan setiap pokok yang ditanam, ia dipilih dari nama anak cucu dan ahli keluarga terdekat.
Selain sebagai cara untuk mengingat orang tercinta, ia juga membantu dalam pemantauan hasil buah serta memudahkan penyimpanan data dan memperkuatkan hubungan keluarga.
“Setiap pokok yang ditanam ini ada nama ahli keluarga, idea ini timbul supaya kita ingat anak cucu dan saudara mara terdekat.
“Selain itu, lebih memudahkan kaedah penyimpanan data contohnya ‘pokok Hidayah’ mengeluarkan berapa biji buah dan berapa biji yang sudah dituai, jadi senang nak tulis maklumat,” ujarnya lagi.
Lebih daripada itu, beliau menjalankan praktikal wakaf daripada hasil buah yang diperolehi.

Setiap pokok yang menghasilkan buah paling banyak akan diwakafkan buahnya kepada tetamu, orang kampung atau saudara-mara yang kesulitan untuk mendapatkan buah tersebut.
“Contoh ada satu pokok menghasilkan 100 biji, jadi 100 biji buah itu kita akan sedekahkan kepada tetamu, orang kampung atau saudara mara jauh yang susah nak dapat buah ini,” katanya.
Namun, seperti kebanyakan petani, pokok mereka menghadapi ancaman racun padi kerana lokasi kebun di tepi bendang.
“Racun padi yang tertiup angin dari penggunaan dron di sawah menyebabkan kerosakan dan kematian pada beberapa pokok harumanis.
“Meskipun demikian, kita tetap bersyukur atas segala rezeki yang diberikan, tanpa menyalahkan petani,” katanya.
Dengan memiliki 60 pokok harumanis di kebun seluas 0.28 hektar, hasil pada tahun ini dijangka mencapai 2,000 biji berbanding tahun lepas.
“Sehingga sekarang kita sudah balut 1,600 hingga ke 1,700 biji, anggaran tahun ini 2,000 biji. Tiga tahun lepas paling banyak kita dapat 3,000 biji, tahun lepas kurang sebab hujan.
“Tahun ini cuaca elok, bunga cantik tapi pokok rosak kerana terkena racun padi. Mana-mana kebun dalam kampung yang tidak jaga sangat pun tahun ini jadi elok,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2024











