Isu Royalti: Jangan diskriminasi hak rakyat Terengganu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disifatkan telah mendiskriminasikan hak negeri Terengganu kerana melengah-lengahkan pembayaran royalti petroleum, demikian kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Tindakan tersebut menurut beliau, menjejaskan agenda merapatkan jurang pembangunan ekonomi serta kebolehcapaian antara negeri Terengganu dan negeri-negeri maju yang lain.

- Advertisement -

Katanya, ini jelas menunjukkan perilaku Kerajaan Persekutuan yang tidak matang di mana 1.2 juta rakyat Terengganu sepatutnya menerima hak mereka dengan anggaran terimaan sebanyak lebih RM1.5 bilion.

Namun maklum beliau, sehingga ke hari ini, Kerajaan Persekutuan masih lagi belum melunaskan baki bayaran royalti bagi petroleum milik rakyat Terengganu untuk tahun 2023 khususnya.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak menjadikan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang kepada mereka untuk menjalankan tanggungjawab dengan seadilnya kepada setiap negeri dalam Persekutuan.

“Saya menyambut baik apa yang disampaikan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan perbahasan di Dewan Rakyat. Beliau menegaskan agar konsep Federalisme perlu diperkukuh dan dijadikan asas terpenting pembentukan negara yang namanya Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya menghormati hak-hak, peranan serta kedudukan negeri-negeri seperti yang termaktub dalam Jadual 9 dan Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Katanya, walaupun sering kali dianaktirikan, Kerajaan Negeri akan sentiasa bersikap profesional dan mengekalkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semangat federalisme sentiasa subur.

“(Ini) Demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Terengganu. Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) akan sentiasa dibawa untuk membolehkan Negeri Terengganu bergerak maju ke hadapan.

“Besar harapan saya agar Kerajaan Persekutuan meneruskan penyaluran royalti petroleum mengikut ketetapan jadual tanpa sebarang kelewatan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya lagi, tindakan Kerajaan Persekutuan menidakkan hak negeri adalah sama seperti suatu pengkhianatan terhadap semangat Federalisme yang diamalkan di negara ini.

Justeru itu Kerajaan Persekutuan peringatnya supaya tidak berlaku zalim kerana pada akhirnya yang menderita adalah rakyat itu sendiri. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -