
KOTA BHARU: Sultan Muhammad V berharap jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disambung ke Rantau Panjang bagi memacukan pertumbuhan ekonomi di kawasan sempadan.
Titah baginda, langkah itu juga dapat mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Thailand melalui Kelantan.
Titah tersebut dibaca Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ke-15 bagi Tahun 2024 hari ini.
Baginda juga berharap projek jaringan jalan raya utama di Kelantan termasuk Central Spine Road dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Beta juga berharap agar pelaksanaan projek-projek tertangguh yang lain seperti jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, Jambatan Palekbang dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT 3) dapat disegera bagi memastikan rakyat beroleh manfaat,” titah baginda.
Menurut baginda juga suatu penyelesaian yang komprehensif hendaklah dibuat segera bagi menyelesaikan masalah bencana banjir.
Baginda turut menzahirkan rasa simpati terhadap nasib rakyat di Kelantan yang ditimpa dengan bencana banjir akhir tahun leps.
“Suatu penyelesaian yang komprehensif hendaklah dibuat dengan kadar segera untuk menyelesaikan masalah itu.
“Beta dimaklumkan kemajuan projek pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok Fasa 1 berada pada tahap 92 peratus,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 4/3/2024











