Indikator ekonomi merosot, hutang hampir RM1.2 trilion

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan terdahulu telah melaksanakan inisiatif yang melonjakkan ekonomi Malaysia sebanyak 8.7 peratus dan menjadi enjin pertumbuhan negara pada hari ini, demikian kata Dato’ Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu). 

- Advertisement -

Namun menurutnya, semua indikator ekonomi di bawah kerajaan kini menunjukkan keputusan yang tidak memberangsangkan dengan tahun lalu berkembang 3.7 peratus rendah daripada jangkaan pasaran.

Malah, ianya juga ujar beliau, di bawah sasaran kerajaan sendiri iaitu antara 4 hingga 5 peratus, manakala pada suku keempat 2023, ekonomi berkembang sebanyak 3 peratus lebih rendah berbanding suku sebelumnya.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berucap demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

“Eksport Malaysia pada 2023 merosot sepuluh bulan berturut-turut. Bermula Mac hingga Disember jatuh 10 peratus kepada RM118.5 bilion berbanding tahun 2022. Menyebabkan jumlah dagangan negara juga turun 4.3 peratus kepada RM225.1 bilion. 

“Hutang langsung kerajaan bertambah sebanyak RM485.7 bilion daripada RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 kepada RM1,172.5 bilion pada hujung tahun 2023 atau menghampiri RM1.2 trilion. 

“Yang lebih membimbangkan ialah nisbah hutang kepada KDNK bertambah kepada 50 peratus daripada tahun 2017 hingga 60.3 peratus pada tahun 2022 dan kini 64.3 peratus pada tahun 2023.

Katanya, perkara tersebut jelas dan dapat dilihat oleh rakyat bahawa kerajaan kini yang sebelum ini melaung-laungkan mengenai masalah hutang negara, sebenarnya meneruskan dasar yang sama iaitu dengan menambah hutang negara.

Bidas beliau, semua bukti ini menunjukkan bahawa kerajaan pada hari ini kurang cekap, tidak berkemampuan untuk mentadbir negara dan mengurus ekonomi hingga kejatuhan mata wang seolah-olah tidak diendahkan kerajaan. 

“Sampai Tambun (Perdana Menteri) ada kata melarang daripada untuk dibicarakan, dicakapkan tentang masalah kejatuhan mata wang sedangkan ini adalah isu pokok. Yang sangat penting tentang kedudukan ekonomi negara. 

“Ia menjadi ukuran, kuasa beli rakyat dan juga negara. Hari ini 4 Mac 2024 menandakan kadar cukai SST telah naik pada kadar baharu sebanyak 8 peratus. Rata-rata kita boleh lihat rakyat gelisah dengan realiti di lapangan. 

“Kerana perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak dikecualikan pastinya akan meningkatkan kos dan barangan bayarannya di mana peniaga akhirnya akan mengalihkan kesan kenaikan ini kepada pengguna,” ujarnya.

Secara tidak langsung katanya, walaupun kerajaan menunjukkan angka inflasi yang terkawal, rendah dan sebagainya, tetapi masalah rakyat di lapangan di bawah tidak berasa begitu kerana mereka merasa harga barangan semakin mahal. 

“Daripada harga barangan dapur sehinggalah harga macam-macam sekarang ni kita nak berdepan dengan apa di mana rakyat akan memulakan persekolahan anak di penggal yang baru. 

“Kos untuk menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah meningkat dengan begitu tinggi. Sekarang nak berdepan dengan Ramadan lagi, musim perayaan lagi,” ujarnya berkongsi keperitan tersebut. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -