
SHAH ALAM: “Saya sudah tiada apa pun hutang masih tidak dapat rumah yang dijanjikan,” kata Rishikumar a/l Kuppuswamy.
Penduduk Rumah Panjang Kampung Bunga Raya, Subang itu berkata seharusnya rumah yang dijanjikan perlu diberikan kepada penduduk terlebih dahulu sebelum melakukan perobohan di kawasan tersebut.
Katanya, ramai penduduk yang mengharapkan rumah diberikan seperti mana yang dijanjikan oleh syarikat swasta pada tahun 1993, lebih-lebih lagi syarikat tersebut dilantik oleh kerajaan negeri.
“Saya sudah habis bayar dan tidak mempunyai apa pun hutang lagi dan apa yang berlaku ialah bukan setakat rumah sahaja tidak ada tetapi juga kampung kami dirobohkan,” katanya.
Dia menyatakan penduduk bukannya warga asing tetapi perobohan yang dilakukan benar-benar tidak berperikemanusiaan.
Tambahnya, syarikat pemaju tersebut diikuti dengan yang dimiliki oleh orang yang sama benar-benar tidak mengambil peduli terhadap penduduk.
“Kedua-dua syarikat pemaju ini seolah-olah dilindungi kerajaan sedangkan kami juga merupakan warganegara Malaysia tetapi dilayan dengan buruk sekali.
“Malah kehidupan kami semua terkapai-kapai selepas rumah kami dirobohkan seolah-olah kami dilayan seperti pendatang asing pula,” katanya ketika sidang media susulan bantahan penduduk terhadap perobohan rumah panjang, hari ini.
Rishi juga berterima kasih kepada kepada pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana membela nasib penduduk memandangkan pada ketika itu tiada pihak yang sudi untuk masuk campur.
Dia berharap setiap penduduk kampung tersebut mendapat pembelaan yang setimpal memandangkan mereka bukan penceroboh.
“Apa pun saya jamin bahawa saya takkan berhenti lawan bagi pihak penduduk Kampung Bunga Raya kerana kami semua berhak mempertahankan hak kami semua sebagai rakyat negara ini,” tegasnya.
Sementara itu, aktivis PPIM, Gulab Jan Fazal Elad mengkritik kerajaan negeri kerana membiarkan tindakan tersebut berlaku.
Tambah beliau, seharusnya kerajaan negeri melindungi rakyat tanpa mengira agama dan bangsa serta peka terhadap isu-isu rakyat.
“Saya tidak menyebelahi mana-mana parti politik kerana isu sebegini jelas membuktikan PPIM jamin akan bantu sesiapa pun yang dizalimi tanpa mengira agama dan bangsa atas dasar kemanusiaan.
“Apa yang berlaku kepada penduduk Kampung Bunga Raya adalah benar-benar tidak wajar dan saya menggesa Menteri Besar Selangor untuk segera bela nasib mereka kerana mereka adalah warga Malaysia dan bukannya warga asing,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2024











