Kemudi guna kaedah SPR pilih kepimpinan baharu

Barisan kepimpinan Kemudi 2024/2026.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemilihan Ahli Jawatankuasa Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) mencipta sejarah baru apabila menggunakan kaedah pilihan raya bagi pengundian memilih kepimpinan baharu bagi sesi 2024/2026.

- Advertisement -

Pemilihan berkenaan sekali gus menjadikan ia yang pertama bagi kelab itu sejak ditubuhkan lebih 14 tahun lalu bagi menjamin ketelusan pemilihan.

Bekas Pengerusi Kemudi sesi 2020/2024, Majidah Ismail berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri untuk sesi pemilihan itu.

“Idea pemilihan kepimpinan baharu itu hasil perbincangan bersama dengan ahli jawatankuasa sesi 2022/2024.

“Usaha itu juga membolehkan kesemua ahli memilih secara telus dan mengikut syarat yang ditetapkan SPR,” katanya kepada media ketika ditemui di Dewan Hotel Jewels, tempat mesyuarat agung itu berlangsung.

Majidah memberitahu, hasrat beliau itu turut memberi peluang kepada pengamal media di negeri ini yang tidak pernah mempunyai peluang mengundi fizikal kerana terpaksa menjalankan tanggungjawab setiap kali pilihan raya dilaksanakan.

“Alhamdulillah, kali ini tercapai juga hasrat kita kerana lebih 90 peratus ahli Kemudi hadir merasai sendiri suasana pilihan raya termasuk penggunaan dakwat.

“Terima kasih kepada Pengarah SPR negeri yang memberi kerjasama sejak awal pertemuan dengan Kemudi sehingga proses pengundian dilaksanakan,” katanya.

Pada pemilihan itu, Muhammad Yatimin Abdullah daripada Utusan Malaysia dipilih sebagai Presiden Kemudi sesi 2024-2026 dan Presiden Kemudi sebelum ini, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi (TV3) sebagai Naib Presiden.

Sementara itu, wartawan Harakah Cawangan Kelantan, Siti Nur Ain Manaf sekali lagi dipilih sebagai ahli jawatankuasa Kemudi untuk penggal kedua berturut-turut.

Yatimi ketika berucap pada sesi penangguhan menyifatkan kemenangan itu amat berat dalam memacu Kemudi ke arah yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Katanya, bebanan amanah yang dipikul itu bagaimanapun akan menjadi ringan dengan bantuan timbalan presiden dan 16 anggota jawatankuasa yang telah dipilih pada mesyuarat agung berkenaan.

“Pembentukan kali ini juga disifatkan cukup istimewa dengan kehadiran dua wakil dari media Cina, iaitu Lau Siok Cheng dan Soon Xue Ning (Sherling),” katanya.

Tambahnya, buat julung kalinya sedekad penubuhan Kemudi, sejarah telah tercipta apabila juruhebah radio (DJ) Mohd Azidi Abdullah menjadi pelengkap kepada pembentukan AJK Kemudi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bekas presiden Majidah dan saf kepimpinan penggal lalu yang telah menjalankan tanggungjawab masing-masing. – HARAKADAILY 2/3/2024

- Advertisement -