
SEPANGGAR: Anak-anak adalah amanah daripada Allah kepada ibu bapa untuk dididik dengan didikan.
Menurut ADUN Dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, anak-anak perlu diterapkan dengan didikan agama mengenal Allah selain dihantar ke sekolah untuk pembelajaran akademik.
“Jika anak-anak ini dijaga dengan baik di dunia ini, mereka akan menjadi penyejuk mata di dunia dan sekiranya diajar mengenal Allah SWT akan menyejukkan kita di alam kubur.
“Doa anak-anak soleh inilah yang akan menjadikan kubur ibu bapa seperti taman-taman syurga dan terlindung daripada azab kubur,” katanya semasa merasmikan program Jom Kembali ke Sekolah di Kampung Unggun, di sini hari ini.
Dr Aliakbar menambah ibu bapa mempunyai tanggungjawab mendidik anak-anak agar menunaikan ajaran Islam seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan dan menutup aurat seperti yang disyariatkan.
Beliau juga berharap anak-anak terhindar daripada anasir-anasir negatif seperti pengaruh dadah, syabu dan sebagainya.
Seramai 50 orang pelajar menerima bantuan berupa wang tunai RM100 untuk perbelanjaan persekolahan.
Penganjur turut menyediakan perkhidmatan menggunting rambut secara percuma sepanjang program berlangsung.
Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Ummu Ahnaf Abu, Pengerusi NGO Sabah Relief, Afiq Norrdin dan Timbalan Pengerusi NGO PERKEPS, Mohamad Idris Mohamad. – HARAKAHDAILY 2/3/2024











