MP PAS kongsi situasi kritikal di lintasan Rafah-Gaza

- Advertisement -

KULIM-BANDAR BAHARU: Rakyat Malaysia khususnya umat Islam dan NGO-NGO Islam diharap terus komited menghulurkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza yang masih berdepan kekejaman tentera Zionis-Israel.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, segala sumber dimiliki dari seluruh masyarakat dunia juga harus digunakan bagi memberi tekanan kepada Zionis-Israel bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai sedang dilakukan rejim itu.

Beliau berkongsi video memaparkan situasi kesesakan didepani bantuan daripada seluruh dunia yang melakukan penghantaran keperluan makanan dan perubatan menggunakan trak dan ambulans di pintu sempadan Rafah di Mesir.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Negeri Kedah itu merakamkan video tersebut semasa lawatan ke lintasan Rafah-Gaza sempena Lawatan Khas Ahli-ahli Parlimen Malaysia ke Mesir pada 21 hingga 24 Februari baru-baru ini.

“Pada ketika ini ramai yang sedang berurusan segala hal untuk mereka membantu saudara kita di sebelah sana yang sedang kebuluran dan kita saksikan ada ambulans yang dibawa. Maksudnya yang membawa pesakit untuk dibawa keluar.

“Juga ada usaha-usaha yang kecil daripada anak-anak muda di sini untuk mereka juga membantu sedayanya memberi makanan yang dibawa ke dalam beg-beg ini untuk dihantar ke dalam Gaza dan melalui pintu utama ini.

“Satu-satunya pintu yang ada untuk semata-mata di seluruh dunia dibawa masuk ke Gaza pada ketika ini yang sedang dalam keadaan yang sangat kritikal. Kita akan saksikan sepanjang perjalanan ribuan trak-trak bantuan yang masih lagi menunggu.

“Sejak sekian lama (mereka melalui) proses untuk dibuat segala bantuan ini masuk ke dalam Gaza di sana,” kongsi beliau ulasan di sempadan itu ketika ditemui dalam program PAS Kedah di Sedim, di sini sebentar tadi.

Lawatan diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin tersebut bertujuan memperlihatkan kepada dunia sokongan Malaysia terhadap Palestin dan komitmen berterusan bantuan kemanusiaan kepada rakyatnya.

Selain Ahmad Tarmizi sebagai mewakili PAS, mereka yang lain ialah Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang-PKR), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan-Umno) dan Senator Datuk Dr Mohd Hattta Md Ramli (PAN).

Lawatan itu juga memberi peluang Ahli Parlimen Malaysia melihat situasi sebenar penghantaran bantuan memasuki Gaza, dengan bantuan Kerajaan Mesir supaya dapat dilaksanakan secara lebih lancar. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

- Advertisement -