
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Dato’ Seri Amirudin Shaari untuk segera menoktahkan kewujudan kilang-kilang haram yang seakan tiada kesudahan.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, tempoh pemutihan untuk kilang haram atau dalam istilah kerajaan negeri iaitu kilang tanpa kebenaran (KTK) yang digerakkan sejak 31 Julai 2006 hingga 31 Disember 2020 pun sudah tamat tetapi isu itu tetap tidak selesai.
“Adakah kerajaan tidak mengambil serius?” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, antara tahun 2018 hingga tahun 2023, sebanyak 7,452 buah kilang haram telah dikenal pasti di seluruh negeri.
Katanya, kebanyakan kilang-kilang haram itu dibina tanpa menukar syarat nyata tanah terlebih dahulu.
Tambahnya, walaupun sudah diberi peluang untuk membuat pemutihan, kilang-kilang haram itu tetap berdegil.
Katanya, apa yang mengejutkan, hanya 7.37 peratus yang tampil membuat permohonan tukar syarat nyata tanah kepada pejabat daerah dan tanah (PDT) yang berkaitan.
Ini, ujarnya belum lagi jika diambil kira data permohonan kebenaran merancang, permit mahupun lesen yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkenaan yang sangat mengecewakan.
Beliau berkata, angka itu membuktikan kerajaan sangat tidak tegas bagi membanteras kewujudan kilang-kilang haram itu.
“Kilang-kilang haram ini bukan sahaja tidak mendatangkan apa-apa hasil kepada Kerajaan Negeri Selangor, bahkan ia turut menjejaskan ekosistem setempat dengan menghasilkan pelbagai jenis pencemaran seperti pencemaran air,” ujarnya.
Menurutnya, Selangor sememangnya cukup terkenal dengan isu gangguan air tidak berjadual.
Katanya, alasan yang kerap diberitahu apabila berlaku situasi sebegini ialah sumber air mentah di loji rawatan air tercemar.
“Kilang-kilang haram sudah pasti tidak segan silu membuang segala sisa buangannya terus ke dalam sungai.
“Sikap tidak bertanggungjawab ini membuatkan air sungai tercemar, seterusnya loji rawatan air terpaksa ditutup,” katanya lagi.
Belaiu menambah, dapatan pada tahun 2020 contohnya mendapati daripada 5,589 buah kilang haram yang beroperasi, 869 (15.54 peratus) daripada berada di sekitar sungai.
Kesannya, ujar beliau rakyat tidak dapat menerima bekalan air bersih secara tidak berjadual.
“Perkara ini sangat memalukan bagi sebuah negeri yang maju dan kaya seperti Selangor ini,” katanya.
Malah, tambahnya kerajaan juga terpaksa membelanjakan wang rakyat untuk merawat semula air yang tercemar.
“Mengapa gerak kerja Kerajaan Negeri Selangor sangat perlahan dalam isu ini?” tanya beliau.
Katanya, entah berapa banyak keuntungan telah dikaut oleh tauke-tauke kilang haram yang sepatutnya dinikmati seluruh rakyat negeri ini.
“Adakah kerana kecuaian atau ada pihak sedang ‘menyuap’ pihak berkuasa?
“Jadi, apakah ‘next move’ kerajaan untuk noktahkan isu ini?” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 1/3/2024











