Mana janji pulih bekalan beras dalam sebulan?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mempersoalkan semula janji yang pernah dibuat oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyelesai masalah bekalan beras tempatan suatu ketika dahulu. 

- Advertisement -

“Pada September 2023, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengatakan bekalan beras akan pulih dalam tempoh sebulan. 

“Tetapi pada hari ini, 29 Februari 2024, sudah lima bulan selepas itu, harga beras masih gagal ditangani dengan jayanya,” ujar beliau berucap dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, pada 4 Januari tahun ini pula, kementerian tersebut turut menafikan kewujudan kartel atau mafia yang dikatakan terbabit dalam menentukan harga padi, beras dan benih padi di negara ini.

“Akan tetapi realitinya petani terus dihimpit dengan kesulitan dan kesukaran apabila wujudnya golongan tengah yang sentiasa menjadikan kartel dan dalang kenaikan harga beras di pasaran. 

“Sedangkan beras yang diborong daripada para petani diambil dengan harga yang amat murah,” ujarnya bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Sik itu.

Maka, kata beliau, pihak kerajaan seharusnya dengan serius perlu mencari jalan penyelesaian yang lebih tuntas, khususnya berkaitan dengan harga beras ketika ini adalah sangat kritikal. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -