‘Tidak kira parti apa, mereka tetap rakyat’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru kepada semua agensi dan kementerian yang ada dalam negara ini untuk terus bekerjasama mencapai objektif kesejahteraan bagi seluruh rakyat.

- Advertisement -

“Saya sangat yakin dengan apa yang disebut oleh YB menteri paling penting bagi mana-mana kepimpinan negeri atau negara untuk terus bekerjasama bukan dalam kerajaan tempatan sahaja bahkan dalam seluruh aspek kerana yang menjadi pihak berkepentingan ialah semua rakyat, tidak kira parti apa, mereka tetap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Pasar Payang di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk meneruskan atau menyiapkan projek peninggalan pentadbiran terdahulu termasuk Kompleks Pasar Payang asalkan rakyat menerima manfaat.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, perancangan atau usaha yang digerakkan oleh kerajaan lalu walau berbeza parti sekiranya memberi manfaat tetap dijayakan.

“Penekanan saya selepas dilantik pada 2018, saya kata mana-mana baik yang dilaksanakan oleh kerajaan lalu termasuklah perancangan bukan sekadar projek yang sedang berjalan kita akan teruskan dengan melakukan penambahbaikan.

“Ini (Pasar Payang) antara contoh kita mengatakan apa yang kita janjikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -