Apa kepedulian kerajaan kepada para pesawah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa menilai semula Perlembagaan Persekutuan pada Jadual Kesepuluh berkaitan pemberian yang diserah hakkan kepada negeri iaitu pada Bahagian Satu yang menyentuh pemberian ikut kepala. 

- Advertisement -

Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) berkata, pemberian geran perkapita ini tidak dinilai semula sejak kali yang terakhir dipinda pada tahun 2002, selain Bahagian Tiga berkaitan sumber hasil yang diserah hakkan kepada negeri.

“Kedua adalah menilai semula kerangka pemberian Persekutuan kepada negeri disebabkan oleh negeri kehilangan sumber pendapatan yang besar kerana berkorban menyumbang kepada kepentingan negara. 

“Sebagai contoh kami di Kedah kehilangan sumber pendapatan guna tanah komersial kerana mempertahankan tanah sawah padi yang menyumbang lebih daripada 40 peratus padi dan beras negara.

“Saya memohon agar perkara ini teliti dengan lebih mendalam supaya kedua-dua peringkat kerajaan ini dapat menjalankan fungsi masing-masing dengan lebih stabil,” ujarnya dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau terdahulu menyatakan mengenai jumlah hasil disatukan negeri yang hanya berjumlah RM35.2 bilion pada tahun 2022 berbanding hasil dikutip peringkat Persekutuan mencecah hampir RM300 bilion.

Menurutnya, jurang ini masih terlalu besar, apatah lagi jika dibandingkan satu negeri dengan negeri yang lain tidak termasuk dalam konteks pemberian khas seperti royalti petroleum serta perjanjian pajakan Pulau Pinang-Kedah.

Beliau turut menyatakan bahawa hingga hari ini masih tidak nampak jelas perancangan strategik kerajaan untuk menangani isu kos sara hidup, sebaliknya satu demi satu langkah menaikkan cukai serta pengurangan subsidi barangan berlaku.

Malah pertikainya, tidak kelihatan di mana bersasarnya pemberian subsidi sebagaimana yang kerajaan sering ulang perubahan dasar daripada subsidi pukal kepada subsidi yang bersasar. 

“Saya tidak mempunyai masalah dengan pemberian subsidi bersasar kerana kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap pemberian subsidi kepada rakyat. 

“Namun dalam masa yang sama kita bimbang kesan langsung ketiadaan mekanisme yang strategik bagi melaksanakan subsidi bersasar. Akhirnya sedikit demi sedikit rakyat yang menjadi mangsa utama,” kesalnya. 

Menyentuh lanjutan isu tanah sawah yang dikorbankan oleh Kedah, beliau turut membangkitkan keluhan pesawah di mana masih banyak isu perlu diberi perhatian oleh kerajaan. 

“Di Kedah dan juga rakan-rakan di Perlis lebih 50,000 pesawah terus membanding tulang mengerjakan tanah bendang. Mereka setia memerah keringat demi memberi makan kepada rakyat Malaysia. Namun pelbagai isu padi yang muncul.

“Sebagai contoh terputus bekalan benih padi sehingga pesawah tidak dapat melaksanakan kerja menabur benih, selain harga benih padi yang tidak terkawal, kualiti benih padi yang buruk langsung tidak bercambah apabila direndam di dalam air. 

“(Juga) harga belian padi yang turun mendadak selepas dinaikkan. Itu adalah sebahagian dari contoh-contoh permasalahan yang dihadapi oleh mereka. Namun apa yang menarik pesawah kita tetap tabah walaupun isu demi isu muncul dalam industri padi. 

“Mereka tetap mengerjakan sawah. Kata orang Kedah, pesawah petani tak pernah serik untuk menanam padi. Inilah kehebatan mereka. Kerana mereka sedar tanggungjawab mereka besar sebagai penyumbang utama sektor makanan negara. 

“Namun, apa pula tanggungjawab kerajaan kepada mereka?” soal beliau memohon perhatian segera kementerian dan agensi bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -