
KUALA LUMPUR: Konsep bina dan jual akan dilaksanakan oleh pemaju perumahan swasta akan merisikokan kenaikan harga rumah, demikian kekhuatiran Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden (PN-Alor Setar).
Menurut beliau, pemaju akan meletakkan semua beban kewangan itu pada harga rumah tertentu menyebabkan akan meningkat naik, sekali gus menuntut kerajaan mengawal harga rumah setelah konsep itu dilaksanakan.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu juga mempersoalkan sama ada kerajaan sedia melaksanakan konsep tersebut sekiranya pemaju enggan, kerana pernah ada persatuan pemaju perumahan menolak cadangan itu sebelum ini.
“Kerajaan bina, kerajaan jual direct pada pembeli. Supaya terutama kepada kumpulan B40 dan M40 supaya mereka ada rumah pada masa depan,” ujarnya di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Beliau mengemukakan perkara tersebut ketika bertanyakan soalan tambahan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, sebentar tadi.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming dalam jawapannya memberitahu bahwa pihak beliau telah cadangkan insentif-insentif yang ditawarkan bagi menggalakkan pemajuan secara bina kemudian jual.
“Antaranya, pertama, mengecualikan syarat pembayaran deposit. Bagi lesen pemajuan perumahan dan juga bank jaminan kedua, keutamaan dipercepatkan bagi semua urusan yang melibatkan pemajuan seperti tukar syarat tanah, pecah sempadan.
“(Juga) kelulusan pelan susun atur, pelan bangunan dan juga kelulusan daripada jabatan-jabatan teknikal. Ketiga, untuk mengecualikan daripada supaya pemaju yang membangun dan kemudian jual diberikan insentif sebagai galakan.
“KPKT kita mempunyai projek perumahan rakyat yang memang sudah siap baru kita aturkan kepada pembeli supaya pembeli rumah yang bernasib baik mendapat PPR tidak ada risiko projek sakit ataupun terbengkalai,” beritahunya.
Terdahulu Afnan meminta KPKT menyatakan perkembangan terkini mengenai konsep ‘bina dan jual’ pernah diumumkan sebelum ini sebagai solusi kepada projek perumahan ‘sakit’ yang berlaku.
Pemaju menurut Nga, akan mengenakan 10 peratus wang pendahuluan daripada harga jualan kepada pembeli, manakala baki 90 peratus setelah rumah tersebut siap dan sijil perakuan siap dan pematuhan serta penyerahan pemilikan dilakukan.
Beliau turut memaklumkan beberapa mekanisme pihaknya dalam menangani isu-isu pembinaan kediaman yang terbengkalai. – HARAKAHDAILY 27/2/2024











