Hapus miskin tegar bukan sekadar selesai atas kertas

Ustaz Abdul Fatah Zakaria
- Advertisement -

PORT DICKSON: Kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa usaha membasmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai status 100 peratus mungkin tidak tepat.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria berkata, ia berkemungkinan tidak tepat sekiranya hanya berdasarkan kepada data Program e-Kasih semata-mata.

Jelasnya, beliau juga merujuk kepada dua petikan berita tentang kenyataan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkaitan negeri itu sebagai ‘sifar miskin tegar’.

Katanya, kenyataan pertama disiarkan sebuah akhbar bertajuk ‘Jumlah miskin tegar turun lebih separuh di Negeri Sembilan’ pada 6 November lepas, sementara kenyataan kedua disiarkan sebuah akhbar lain bertajuk ‘Negeri Sembilan kini sifar miskin tegar’ yang disiarkan pada 22 Disember.

“Kedua-dua kenyataan itu menyebutkan sebelum ini seramai 3,530 ketua isi rumah (KIR) diklasifikasikan sebagai miskin tegar, berdasarkan statistik e-Kasih,” ujarnya.

Tambahnya, dalam sistem e-Kasih, pemohon yang berkelayakan mendaftar secara sukarela dan bukan secara automatik sama ada melalui agensi sedia ada seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Baitulmal dan sebagainya.

Menurut beliau, kerana itu kemungkinan berlaku keciciran disebabkan sebahagian mereka tidak mempunyai akses untuk mendaftar.

“Kedua-dua kenyataan ini juga dilihat bercanggah dalam tempoh sebulan. Jika ia benar berlaku ia dilihat seakan hanya selesai di atas kertas.

“Dalam tempoh 10 bulan kerajaan negeri telah selesaikan separuh kes, manakala baki separuh kes selesai dalam dua bulan!” ujarnya yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Port Dickson.

Tambah Ustaz Fatah, untuk membasmi kemiskinan tegar ia memerlukan tindakan yang menyeluruh dan holistik, tidak sekadar bergantung kepada statistik tertentu semata-mata.

“Jika sekadar bergantung kepada kaedah pendaftaran sukarela e-Kasih kemudian bank-in bantuan STR secara bulanan saya fikir ia hanya sekadar selesai di atas kertas,” ujarnya.

Selain itu, menurut beliau, kerajaan perlu mengintegrasikan antara gerak kerja atas kertas dan lapangan.

“Kerja lapangan telah lama dijalankan oleh JKM, MAINS dan sebagainya yang saya fikirkan input mereka lebih realistik. Perlu ada usahasama strategik antara DOSM dengan JKM, MAINS dan sebagainya.

“Ini selaras dengan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang pernah digagaskan oleh kerajaan terdahulu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/2/2024

- Advertisement -