Penguatkuasaan ‘parked vehicle’ dan lebih muatan

- Advertisement -

KLANG: Unit Penguatkuasaan Lebuhraya (UPLR) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zon Tengah telah menjalankan operasi khas ‘Parked Vehicle’ dan lebih muatan dari jam 11 malam sehingga 2.30 pagi tadi.

- Advertisement -

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi kenyataan di Facebook berkata, sasaran utama operasi adalah terhadap kenderaan perdagangan yang meletak kenderaan di lorong kecemasan dan membawa lebih muatan.

“Operasi dijalankan untuk menguatkuasakan undang-undang dan peraturan lalu lintas terutama meletak kenderaan di lorong kecemasan.

“Seterusnya, pemeriksaan menyeluruh terhadap pemandu dan fizikal kenderaan yang turut disokong oleh pihak PLUS untuk meningkatkan kesedaran keselamatan lebuh raya melalui interaksi langsung dengan pemandu-pemandu,” katanya.

Jelasnya, operasi ini juga turut melibatkan kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasa PLUS Wilayah Tengah.

Tambah beliau, operasi turut dilaksanakan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

Manakala, timbang berat beritahu kenyataan itu, adalah dilaksanakan di lokasi jalan keluar Plaza Tol Bandar Gamuda Cove, Banting.

“Secara keseluruhan sepanjang operasi berlangsung terdapat 75 kenderaan telah diperiksa, 48 kenderaan diambil tindakan di mana 155 notis dan 65 jumlah kesalahan telah dikesan oleh pihak JPJ dan PDRM 

“Kesalahan yang paling utama dikesan ialah tidak mempunyai segi tiga keselamatan (STK), memakir di lorong kecemasan dan lebih muatan,” ujar kenyataan tersebut.

Justeru, pihak PLUS berkata, kerjasama antara agensi-agensi yang terlibat dalam operasi ini merupakan langkah proaktif ke arah mencapai tujuan dihendaki.

“Hal ini secara tidak langsung dapat menjaga keselamatan serta meningkatkan kesedaran dan keselamatan pengguna lebuh raya,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -