
KANGAR: Kritikan daripada lawan adalah lumrah dalam dunia politik, bahkan mungkin merupakan pendapat peribadi politikus berkenaan sahaja dan langsung tidak mewakili pandangan rakyat secara keseluruhannya.
Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan mengulas dakwaan kononnya wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan ADUN dan Ahli Parlimen hilang entah ke mana ketika rakyat memerlukan mereka.
Hakikatnya ujar beliau, wakil rakyat PN sentiasa berada dalam kalangan penduduk setempat di mana setiap individu mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam masyarakat.
Zakri menjawab kritikan dan dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Perlis, Dato’ Dr Fathul Bari Mat Jahya yang turut menyatakan optimis parti itu merampas kembali pemerintahan negeri tersebut pada PRU16 nanti.
Malah terdahulu Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Dato’ Seri Ahmad Maslan juga menyifatkan gelombang PN sukar bertahan meskipun menguasai keseluruhan kerusi daripada kemenangan besar PRU15 lalu.
Jelas Zakri, sebagai Ahli Parlimen, beliau sendiri bekerja untuk semua golongan sama ada anak muda dan yang memerlukan perkhidmatannya serta meraikan pelbagai minat dan mengadakan program bersesuaian.
Beliau berkongsi contoh penekanan atau fokusnya dalam membantu peniaga tempatan khususnya di Parlimen Kangar seperti yang terkandung dalam manifesto ketika pilihan raya lalu.
Katanya lagi, wakil rakyat PN juga terikat dengan peruntukan terhad, namun begitu tetap berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat walaupun dalam keadaan yang mencabar. – HARAKAHDAILY 23/2/2024












