Pukul mati: ‘Sebagai ibu saya dapat rasakan kesedihan’

zakiah tukirin
- Advertisement -

SEREMBAN: Naluri semua ibu pasti dapat merasakan kesedihan menimpa keluarga seorang pemuda yang dipukul hingga mati ekoran satu kemalangan baru-baru ini, kata Ketua Muslimat PAS Negeri Sembilan, Masita Mohamed Ali.

- Advertisement -

“Saya melahirkan rasa sedih dan kesal atas kejadian itu. Sebagai seorang ibu, secara peribadinya saya merasakan bahawa setiap nyawa adalah sangat berharga. 

“Insan yang terbunuh mungkin adalah seorang anak, seorang suami, seorang ahli keluarga dan seorang pencari rezeki. Justeru, saya sangat mengharapkan kejadian sebegini tidak akan berulang,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan tindakan sekumpulan individu yang melakukan tindakan tersebut ke atas pemuda itu adalah sangat tidak wajar, bahkan melanggar undang-undang. 

Jelasnya, tindakan mereka itu bukan sahaja membahayakan keselamatan orang lain, tetapi mereka sendiri juga telah melakukan jenayah yang jauh lebih besar. 

“Di Malaysia, undang-undang mengenai pembunuhan dinyatakan dalam Seksyen 300 Kanun Keseksaan. 

“Terdapat beberapa perbezaan antara pembunuhan bersengaja (murder) dan pembunuhan tidak bersengaja (culpable homicide) yang boleh mengakibatkan hukuman yang berbeza,” ujarnya.

Tambah beliau, perasaan marah adalah perkara biasa yang wujud dalam seseorang insan, namun, Rasulullah SAW sendiri sangat mengingatkan supaya mengawal kemarahan. 

“Dalam satu hadis yang masyhur diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA: maksudnya: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW.

“Nabi bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali,” ujarnya.

Sementara dalam satu hadis lagi, kata beliau, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, ‘Seorang kuat itu bukanlah handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah’.

Namun beliau menolak tanggapan bahawa peristiwa itu menunjukkan seolah-olah ramai rakyat Malaysia kini sudah hilang perikemanusiaan.

“Saya berpendapat bahawa kejadian individu atau kumpulan individu yang melakukan tindakan kekerasan tidak mewakili tahap nilai perikemanusiaan keseluruhan masyarakat Malaysia. 

“Rata-rata rakyat Malaysia masih sangat bertimbang rasa dalam menghadapi sesuatu krisis dan masalah. 

“Namun begitu, kejadian ini mungkin adalah ‘tip of an iceberg’ yang menggambarkan realiti permasalahan pengurusan kemarahan atau ‘anger management’ segelintir rakyat Malaysia,” kata beliau.

Jelas Masitah, hakikatnya memang terlalu banyak faktor masa kini yang boleh menyumbang kepada permasalahan sebegini seperti tekanan hidup kerana desakan ekonomi, ketidakseimbangan emosi dan kurangnya kesedaran mengenai undang-undang. 

“Apa pun alasannya, kita sebagai orang Islam dan rakyat Malaysia sepatutnya lebih bijak mengawal amarah dalam sesuatu situasi,” katanya kepada HarakahdailyHARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -