Guru PASTI Sabah bersara selepas berkhidmat 35 tahun

- Advertisement -

SANDAKAN: PASTI Kawasan Sandakan telah meraikan majlis persaraan Guru PASTI, Siti Sofiah Rafiei yang telah berkhidmat selama 35 tahun.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Libaran, Abdul Wahid berkata bahawa, ini merupakan majlis julung kali diadakan di negeri Sabah.

Menurutnya, Siti Sofiah atau lebih kenali sebagai Kak Pia merupakan sosok tubuh yang sangat berharga dalam membangunkan PASTI Sandakan sejak awal penubuhan pada tahun 1989.

Katanya, tempoh 35 tahun bukanlah suatu masa yang pendek dan bukan semua mampu menghabiskan usianya dalam pendidikan dalam tempoh yang panjang.

“Kak Pia seorang yang tidak mudah merungut apabila diberikan tugasan, bahkan beliau sangat rajin melaksanakan amanah yang diberikan. Pernah dua kali beliau berhasrat untuk berhenti sebagai Guru PASTI.

“Namun hajatnya dipendam kerana mengenangkan janjinya untuk istiqamah berbakti bersama PASTI,” ujarnya sewaktu merasmikan Majlis Sanjung Budi Lambaian Kasih Puan Siti Sofiah Rafiei.

Menurutnya lagi, PASTI Sandakan sangat beruntung memiliki beliau, kerana merupakan Tokoh Guru Kebangsaan 2010, dan merupakan Jurulatih Utama PASTI di Sabah.

Tambahnya, walaupun PASTI Sandakan pernah menaja beliau menunaikan umrah pada 2018, namun itu bukan ganjaran yang setimpal dengan jasa beliau.

“Longlai rasanya melepaskan Kak Pia pergi meninggalkan PASTI, namun apakan daya setiap pertemuan pasti ada perpisahan,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -