PAS buka ruang parti lain bersama demi Penyatuan Ummah

- Advertisement -

KANGAR: PAS sentiasa terbuka untuk menerima parti-parti Melayu Islam yang lain dalam semangat perpaduan ummah, demikian kata Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.

- Advertisement -

“PAS sentiasa terbuka menerima parti-parti Melayu Islam dalam semangat perpaduan ummah ini. Boleh lihat PAS bersama BERSATU dan boleh menerima GERAKAN di dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun bukan Islam.

“Kita terima GERAKAN sebab dia tidak pernah ganggu perjuangan dan dasar-dasar kita, bukan Islam seperti GERAKAN pun kita terima, apatah lagi parti-parti Islam.

“Umno,  contohnya, kita tidak pernah tutup pintu kerjasama tersebut, meskipun ada sedikit halangan, namun saya yakin halangan-halangan itu akan dapat diatasi,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Tuan Guru Hashim mengungkapkan pendapat, usaha untuk mengembalikan semula Muafakat Nasional (MN) perlu dihidupkan dalam keadaan politik dan pemerintahan semasa kini.

“Jika dilihat yang tolak MN ini Presiden Umno dan beberapa orang pemimpin sahaja, namun ramai di dalam Umno sebenarnya mahu kerjasama di dalam MN ini. 

“Apabila Umno tolak, orang juga akan dapat nilai siapa sebenarnya yang mewujudkan halangan ke arah kerjasama di dalam MN ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -