Banyak nama tempat pelik tapi unik di Kedah

- Advertisement -

SEKIRANYA datang ke Kedah, pasti berjumpa dengan nama-nama kampung seperti Matang Kerat Telunjuk, Kubang Menerong, Tanjung Belit, Ekor Kucing, Kubang Sapi, Naga Lilit, Titi Kerbau dan Charok Ketiak. 

- Advertisement -

Termasuk juga Kubur Panjang, Batu Menunggul, Kampung Tok Kepak, Lana Bulu, Sungai Mati, Naka Namboa dan lain-lain lain lagi.

Tetapi jangan terkejut atau hairan, itulah sebenarnya satu kepelikan yang menunjukkan keunikan masyarakat dan cara hidup penduduk negeri ini mungkin berbeza dengan negeri lain. 

Selain itu, kita juga akan berjumpa dengan Bukit Nyamuk, Kampung Kenyeng, Bukit Teriak, Kepala 20, Kampung Seluar Terbakar, Kampung Bakar Sampah, Kampung Pulau Maharaja, Kampung Bok Bak, Hujung Ketun dan bermacam-macam lagi, hingga tidak tertulis. 

Malah ada juga nama tempat di negeri ini, bermula dengan kuala tetapi tiada laut di situ seperti Kuala Ketil dan Kuala Nerang.

Itu belum lagi nama-nama kampung di Langkawi yang sinonim dengan mitos seperti Gunung Mat Cincang, Gunung Raya, Kampung Belanga Pecah dan lain-lain, di mana nama tersebut dikaitkan dengan orang bunian serta sumpahan Sang Gedembai.

Ini hanyalah sebahagian yang agak popular dan dikenali penduduk Kedah tetapi masih ada lagi nama-nama tidak tertera di sini. 

Tiada maklumat jelas asal-usul sebenarnya bagaimana kampung-kampung terbabit mendapat nama sedemikian, namun umum mengetahui kebanyakannya berkaitan rapat dengan kejadian atau peristiwa yang berlaku dahulu kala di tempat berkenaan.

Tidak dinafikan, terdapat pertikaian atau tanda tanya generasi sekarang bagaimana nama yang dilihat seolah-olah ‘tidak munasabah’ dengan realiti sedia wujud.

Apapun, keunikan Kedah yang pernah membina tamadun tersendiri di Asia Tenggara sebelum ini sentiasa dengan keistimewaan tersendiri belum termasuk loghatnya serta penduduknya, yang ‘kasar’ tetapi peramah dan baik hati. – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -