
PASIR PUTIH: Masyarakat kini rata-ratanya sedang merasai keperitan apabila terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang keperluan harian seperti beras, minyak masak, ikan, gula dan lain-lain.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Nor Sham Sulaiman berkata, perkara tersebut disaksikannya sendiri apabila jumlah penduduk kampung yang mengunjungi Pusat Khidmat DUN berkenaan semakin bertambah.
Jelasnya, jangankan untuk ‘menokhtahkan’ penyampaian sumbangan kepada penduduk kampung, sebaliknya semakin ramai yang perlu dibantu menghadapi situasi itu.
Beliau melontarkan pandangan, semua keadaan berlaku itu disebabkan kenaikan harga barang keperluan yang terpaksa dihadapi mereka, terutama kalangan berkeluarga besar.
“Menurut mereka yang datang ke pejabat DUN, kalau sebelum ini RM20 sudah mampu menampung keperluan harian keluarga, tetapi dalam tempoh singkat, ditambah dengan kejatuhan nilai mata wang, RM50 sehari pun tidak cukup untuk beli keperluan dapur,” katanya.
Beliau mengakui kejatuhan nilai mata wang juga turut memberi kesan pada ekonomi negara, negeri dan rakyat, katanya selepas melakukan ziarah pesakit dalam DUN Semerak, di sini hari ini.
Tambahnya, cuma segelintir masyarakat tidak sedar kesan kejatuhan mata wang kerana mereka menganggap tidak terlibat, malah tidak perlu tukar wang kerana tidak ke mana-mana.
Sedangkan menurut Sham, kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang dunia akan menyebabkan kos untuk mengimport barangan menjadi mahal.
“Apabila kos mengimport menjadi mahal, maka peniaga akan memindahkan kos kenaikan harga import ini dengan terpaksa menjual barangan kepada pelanggan pada harga yang mahal.
“Ini kesannya pada kita, pada rakyat yang ramai tidak sedar apabila kejatuhan nilai ringgit berlaku,” sambungnya yang berusaha membantu sekadar termampu agar penduduk tidak kecewa.
Katanya, ada juga yang tidak datang ke pejabat untuk memohon sumbangan, namun dengan usaha dan tanggungjawab Penghulu Mukim dan tanpa mukim seramai 22 orang, golongan yang memerlukan turut dibantu.
Pada hari ini, beliau meluangkan waktu menziarahi lima pesakit, masing-masing di Kampung Semerak dan Tok Bali yang menjadi rutin ziarah mingguannya. – HARAKAHDAILY 22/2/2024











