
KOTA BHARU: Peningkatan penyakit kronik tidak berjangkit dalam kalangan belia kebelakangan ini semakin membimbangkan dan dijangka bertambah sekiranya kerajaan tidak serius melaksanakan semula Rang Undang-undang (RUU) Akta Generasi Penamat Rokok (GEG).
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, selain faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat, penyakit membabitkan kencing manis, jantung, strok dan buah pinggang melibatkan rokok dan vape juga makin menjadi-jadi.
Menurut beliau, GEG merupakan dasar baharu yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mewujudkan satu generasi baru bebas rokok dan rokok elektronik terutama anggota masyarakat lahir selepas tahun 2007.
“Kita minta kerajaan agar dapat membawa kembali GEG ini dalam Parlimen agar kita boleh laksanakan semula akta ini kerana kita semua bercita-cita pada masa depan untuk melahirkan generasi ‘zero’ rokok di Malaysia dapat dicapai.
“Bila ada vape dan nikotin itu telah dikeluarkan sebagai senarai racun, jadi benda-benda ini telah memberi peluang kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual vape yang ada nikotin menyebabkan mudah mendapat penyakit,” katanya.
Pengamal perubatan itu memberitahu, banyak kajian dilakukan membuktikan tabiat merokok membabit golongan muda turut menyumbang kepada penyakit kronik tidak berjangkit seperti penyakit jantung yang dikesan kepada individu seawal usia 24 tahun.
Malah ujarnya lagi, kajian mengenai penyakit arteri koronari dalam kalangan belia mendapati hampir 70 individu berumur 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurang satu faktor risiko kardiovaskular, melibatkan jantung dan salur darah.
Oleh itu pandangan yang mengaitkan serangan penyakit jantung dengan orang lebih tua merupakan pendapat sudah lapuk, malah golongan belia harus mengambil tindakan bagi memastikan mereka tidak diserang penyakit itu.
“Penyakit ini mari adalah disebabkan gaya hidup kita ini yang sangat tidak sihat terutamanya dari segi diet, pemakanan, terlalu banyak fast food kita macam pelbagai sosej nugget dan sebagainya, ia menyumbang kepada penyakit ini.
“Diet seperti ini memang tidak sihat, tidak semestinya kepada orang muda, lepas itu gaya hidup tidak aktif dan kalau anak lelaki dia suka merokok tambah diet dan tidak aktif menyumbang kepada penularan penyakit-penyakit ini,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 22/2/2024











