UMK meterai MoU dengan Pedagogical Institute Uzbekistan

- Advertisement -

BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Pengajian Bahasa dan Insan (FBI) dan  Termez State Pedagogical Institute, Republik Uzbekistan telah  menandatangani  memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama akademik dan penyelidikan.

- Advertisement -

Antara lain, MoU itu bertujuan membangunkan kerjasama pendidikan, penyelidikan dan teknologi antara UMK dan universiti terbaik di Uzbekistan.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak dan Rektor Termez State University, Mr.Khasanov Azizbek yang diadakan di Bangunan FBI, UMK Bachok, di sini hari ini.

Dr. Razli, ketika berucap pada majlis itu berkata, kerjasama ini adalah selari dengan hasrat untuk menjadikan UMK sebagai institusi bertaraf dunia.

Katanya, ia sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya dalam hubungan kerjasama antara universiti antarabangsa.

Beliau berkata, UMK telah mengenal pasti bidang kerjasama yang mempunyai potensi besar untuk menjadikan kerjasama ini dapat dilaksanakan dengan baik khususnya projek penyelidikan, program pendidikan kolaboratif, atau inisiatif khidmat komuniti.

“Kerjasama ini penting untuk perkongsian kepakaran antara kedua-dua pihak dalam menangani cabaran yang dihadapi pada hari ini.

“Selain itu, kerjasama ini juga membuka banyak peluang program mobiliti pensyarah dan Pelajar termasuklah program pembangunan  akademik yang akan memberi manfaat kepada komuniti masing-masing dan menyumbang kepada landskap akademik global,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -