Cadangan licik Nga Kor Ming nak tukar status negara

Aminuddin Yahaya
- Advertisement -

Bertambah kerosakan imej PM yang dilihat tunduk kehendak perkauman DAP

KUALA LUMPUR: Nga Kor Ming hanya menambahkan lagi kerosakan imej kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah sedia dilihat kerap tunduk kepada desakan kehendak-kehendak agenda perkauman parti DAP di dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Melayu (Nasionalis), Aminuddin Yahaya berkata, rancangan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan yang bersifat perkauman itu hanya memburukkan lagi pandangan terhadap Perdana Menteri.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian terhadap rancangan pencalonan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) oleh Kor Ming baru-baru ini.

“Kor Ming sepatutnya menggunakan perlantikannya di bawah restu Yang di-Pertuan Agong untuk mempertahankan hasrat dan sumpah institusi tersebut bagi menjaga dan memelihara kepentingan-kepentingan yang sah orang Melayu dan Bumiputera selain warga Malaysia sekalian.

“Fokus sepihak Nga Kor Ming bukan sahaja menghina serta menconteng arang kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai wakil Raja-raja Melayu, tetapi juga menambahkan lagi kerosakan imej Perdana Menteri,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian dalam sidang media khas yang turut disertai NGO-NGO Melayu-Islam berkenaan isu tersebut di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, rancangan tersebut juga disifatkan mereka sebagai tindakan secara halus menggunakan pertubuhan luar iaitu UNESCO untuk menekan kerajaan bagi mengabsahkan budaya dan bahasa di luar pengiktirafan Perlembagaan.

Tegasnya, bantahan ini dibuat setelah menilai kesan daripada pengiktirafan taraf Warisan UNESCO di kawasan tanah tersebut terlalu besar dan sangat merbahaya terhadap kedudukan orang dan tanah orang Melayu.

“Yang pertama tindakan ini akan mengubah dan menukar sejarah bumi dan akan memadamkan usul asal orang Melayu kerana kawasan-kawasan tersebut akan dianggap sebagai kawasan asal atau kawasan peribumi kepada negara.

“Bukan itu sahaja penduduk-penduduk di kawasan berkenaan jika diiktirafkan sebagai kawasan warisan akan dianggap sebagai orang asal ataupun istilah lain sebagai peribumi ataupun ‘native’ kepada ruang dan tempat tersebut.

“Kedua dengan pengiktirafan sebagai penduduk asal peribumi, mereka boleh mencabar keperibumian penduduk Melayu yang akhirnya penduduk Melayu pula akan diberi ataupun dilabelkan sebagai pendatang di kawasan tersebut.

“Ketiga, tindakan ini juga adalah salah satu bentuk etnosid; pembunuhan kaum, licik. Iaitu dengan memadamkan warisan Melayu yang sudah wujud ribuan tahun ini. Keempat sekolah yang wujud di Kampung-kampung Baru Cina dengan sendirinya akan diiktiraf sebagai pendidikan asal di negara ini.

“Walhal ianya dibina oleh penjajah untuk memecah belahkan masyarakat di negara ini,”
ujar beliau menerangkan bahaya dimaksudkannya dan mempertikaikan keutamaan kementerian yang diterajui Nga Kor Ming itu.

Aminuddin turut membangkitkan persoalan berkenaan kampung-kampung Melayu serta tapak-tapak sejarah tamadun asal Melayu di negeri ini di negara ini yang tidak dicalonkan sebagai Tapak Warisan UNESCO.

Sedangkan tegasnya, banyak kampung-kampung dan kawasan Melayu sudah wujud ribuan tahun walhal, Kampung Baru Cina ini hanya diwujudkan sejak tahun 1948 iaitu sekitar 76 tahun lepas.

“Mana justifikasinya? Sehubungan dengan itu, kami orang Melayu mendesak kerajaan supaya menolak cadangan pemimpin DAP ini kerana usaha ini jika dilaksanakan dengan sendirinya ia akan memadamkan sejarah dan kewujudan orang Melayu serta institusi Melayu di negara ini.

“Kami juga menggesa Nga Kor Ming dipecat dari jawatan Menteri yang disandang kerana menjalankan dasar serta perancangan bersifat perkauman totok di dalam Kerajaan Perpaduan yang dilantik Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Menurut beliau, terdapat 613 Kampung Baru Cina di seluruh negara di mana jika minimum dua puluh ekar diambil, bererti terdapat 12,000 ekar akan diwartakan serta tidak boleh dilakukan apa-apa lagi.

Sedangkan tanah-tanah orang Melayu ujarnya, banyak telah dirobohkan, termasuk banyak Tanah Rizab Melayu yang hilang, selain tanah kerajaan diceroboh seperti di Raub dan banyak lagi kes seumpama lain.

“Apabila duduk di bawah UNESCO, mereka layak mendapat bantuan puluhan juta. Ada yang kata mereka boleh dapat RM40 juta setahun. Maknanya Kampung (Baru Cina) ini
akan terbina dengan begitu cantik dan dijaga tak boleh dikacau.

“Walhal kita tahu sejarahnya, kampung ini ada ditempatkan orang Cina dahulu untuk menjaga lagi perkembangan pengaruh Komunis jadi sebab itu hari ini saya dan rakan-rakan saya gelarkan sebagai Nasionalis.

“Sebagai saya sebutkan tadi orang yang cintakan kepada negara kita. Bukan nak buat musuh, tetapi kenapa nak ambil hak tanah bumi kita ini Tanah Melayu tanah orang Melayu jangan nak ditukarkan sejarahnya.

“Jadi sebab itu cadangan ini cadangan yang sangat tidak logik satu strategi yang licik untuk menukar status negara,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -