Membangun negara ke arah lebih baik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin berharap semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama harus bersama-sama menghadapi cabaran dan mencari peluang untuk membangun negara ke arah yang lebih baik.

- Advertisement -

Katanya, ini kerana Malaysia yang maju adalah milik semua rakyat.

Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, beliau bersama ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud dan ADUN Tahan, Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Pulau Tawar, Ustaz Yohanis Ahmad meluangkan masa menyantuni kaum Tionghua di kawasan Jerantut.

Menurut Khiril, tahun ini adalah tahun naga iaitu haiwan ke dua belas dalam putaran 12 tahun kalendar Cina dan dihormati sebagai simbol kekuatan dan berprestij (exclusive).

Katanya semoga kedatangan tahun naga ini, dengan watak naga yang berani akan membawa perubahan kepada ekonomi negara, kebahagiaan keluarga, kesejahteraan, dan kemakmuran kepada masyarakat.

Sementara itu, kata beliau, PAS sentiasa mendukung idealogi PAS for All dengan sifat keterbukaan bersama semua bangsa di Malaysia.

Beliau memetik ucapan Tok Guru Nik Aziz; “Kita semua dilahirkan daripada seorang bapa yang sama iaitu Adam atau juga dikenali sebagai Nabi Adam AS.

“Saya kira kaum Cina, Melayu, India adik beradik; Cina adik beradik Melayu, Melayu adik beradik Cina, Cina adik beradik India.”

Sehubungan itu, katanya, Tahun Baru Cina adalah masa yang istimewa di mana rakyat Malaysia bersatu untuk merayakan warisan dan tradisi masyarakat Tionghua.

“Sebagai wakil rakyat di sini, saya akan sentiasa mendengar suara rakyat, berusaha sepenuhnya melindungi hak rakyat.

“Tahun ini, mari kita terus memupuk keharmonian di kalangan semua lapisan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -