
MB Selangor dipertikai, disifatkan naif dan tiada jati diri
KUALA LUMPUR: DAP sudah boleh disahkan sebagai penjajah baharu yang menjalankan agenda-agenda kolonialisme dan imperialisme ‘politik asing’ secara muslihat licik dengan bertopengkan diri sebagai sebuah parti politik.
Timbalan Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Iszuree Ibrahim berkata, ‘politik asing’ dimaksudkannya adalah merujuk kepada agenda perjuangan parti tersebut yang sangat berbeza daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, perbezaan itu juga yang dimaksudkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa DAP tidak setia kepada negara dan kini semakin jelas berwatak seperti penjajah menggunakan kuasa dalam kerajaan.
Beliau merujuk rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“Jadi, DAP bukan sahaja seperti menyambung agenda penjajah terdahulu, tetapi parti itu juga membawa agenda ‘politik asing’ dan mereka sendiri menjadi penjajah ke atas tanahair Malaysia ini sebagaimana mereka buat di Pulau Pinang.
“Terbaru rancangan untuk pencalonan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan UNESCO. Ini seakan-akan penjajah baharu yang bekerjasama dengan penjajah lama untuk melanjutkan agenda penjajahan ke atas negara ini.
“Malah ini juga boleh dikatakan sebagai mengundang campur tangan asing secara sistematik dan strategik dengan menggunakan pengiktirafan tersebut menghalang kuasa Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara,” terangnya.
Iszuree berpandangan, usaha Kor Ming itu juga sebenarnya secara halus mengapi-apikan sentimen perkauman dan rasa gugatan terhadap Kampung Baru Cina hingga memerlukan perlindungan eksklusif menerusi pengiktirafan tersebut.
Kerana tegasnya, tidak pernah ada mana-mana pihak cuba ‘mengusik’ atau mengganggu mahupun merombak Kampung Baru Cina di seluruh negara ini tidak sebagaimana banyak kampung-kampung warisan Melayu yang sudah ‘dilenyapkan’.
Bekas tentera ‘pelindung tanahair’ tidak dibela
Presiden Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera (KERABAT), Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dalam pada itu mempersoalkan kesungguhan KPKT kepada usaha tersebut yang melebihi usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Oleh itu simpulnya, intervensi Nga Kor Ming itu bukanlah berkaitan warisan seni dan budaya mahupun sejarah melainkan pemimpin itu bercakap sebagai pemimpin DAP yang menggerakkan agenda cauvinisme parti tersebut.
Tetapi katanya, Menteri itu mengambil peluang secara ‘memperalat dan memanipulasi’ kedudukan jawatan dan kuasanya yang berkaitan tanah dan pembangunan serta kerajaan tempatan dengan mendesak rancangan tersebut.
“Penempatan Kampung Baru Cina diwujudkan untuk memberi pelindungan khususnya kepada orang Cina dahulu disebabkan ancaman Komunis. Sekarang mahu diberi ‘perlindungan’ oleh UNESCO, ini umpama ‘menatang minyak yang penuh’.
“Malang sekali, ada perkampungan Melayu atau tanah diduduki bekas anggota-anggota tentera, tetapi mereka diminta keluar atau hakikat sebenarnya diusir. Sedangkan para tentera ini adalah ‘pemberi pelindungan’ kepada keamanan tanah kita diami sekarang.
“Tetapi kini golongan berjasa ini sendiri merempat tanpa pembelaan seumpama ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” ujar beliau turut membidas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menurutnya, bidasan pemimpin PKR dengan melabelkan tindakan pihak-pihak yang mempertikaikan isu tersebut sebagai perkauman menunjukkan Amirudin terlalu naif dan tanpa jati diri, bahkan seperti berada dalam ‘kawal jauh’ pihak berkepentingan.
Malah, beliau menyifatkan Amirudin tidak matang dan mungkin terpedaya dari memahami permainan serta perangkap DAP yang merupakan sekutu dan ‘punca’ pemimpin tersebut mencukupi majoriti menjadi Menteri Besar.
“Sedangkan paling banyak isu-isu penempatan diduduki orang Melayu termasuk bekas anggota-anggota tentera adalah dalam negeri Selangor. Di mana suara Amirudin? Tergamak anda diam dan biarkan rumah mereka dirobohkan?” pertikai Nazari. – HARAKAHDAILY 8/2/2024











