
KANGAR: Kerajaan negeri komited mempastikan setiap rakyat memiliki rumah sendiri sejajar Manifesto PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, justeru Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) bersedia membantu permohonan rumah kepada golongan B40 khususnya yang belum memiliki kediaman sendiri.
Menurut beliau, pihaknya telah mendapat laporan bahawa terdapat sepasang suami isteri yang hidup berpindah randah tanpa memiliki kediaman yang tetap.
“Perkara itu mendapat perhatian pihak saya. Mereka ini dilaporkan berpindah randah dari satu masjid ke satu masjid kerana tiada tempat tinggal.
“Dimaklumkan juga suaminya kurang sihat, jadi isteri sahaja yang bekerja, selepas dapat tahu hal ini,kita berusaha dapatkan mereka rumah di Projek Perumahan Rakyat Tempatan (PPRT) Sena, di sini,” katanya.
Dalam pada itu kata Asrul, terdapat lapan perkhidmatan yang disediakan oleh pelbagai agensi bagi memudahkan rakyat memiliki rumah.
Tambahnya, pemohon boleh berurusan terus di Pejabat Pentadbiran Daerah (PPD), Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), selain program penempatan semula nelayan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Dalam perkembangan yang sama, maklumnya, Program Rimbunan Kasih, Program Perumahan Rakyat Termiskin, Projek Perumahan Mesra Rakyat, PPRT prospek oleh RISDA, Program Baiti Jannati oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga disediakan kepada golongan B40 untuk memohon kediaman sendiri.
“Mana-mana individu yang memiliki tanah boleh terus buat permohonan kepada agensi ini. Manakala pihak PKWR akan berusaha memudahkan penyaluran maklumat berkaitan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2024




















