Reformasi ekonomi di era Madani kelam dan tenggelam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Siri-siri tindakan besar yang dilaksanakan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sektor ekonomi dilihat sebagai satu usaha reformasi ekonomi yang digembar gemburkan sejak era pembangkang lagi.

- Advertisement -

Profesional Istiqamah dalam satu kenyataan berkata, namun tidak semua reformasi adalah satu perkara yang baik di mana adakalanya jika sesuatu sudah elok dan dapat berfungsi dengan naik maka tiada keperluan untuk menukar perkara tersebut.

“Jika membuat sesuatu perubahan mendatangkan kesan lebih buruk, maka ia juga tidak dikira sebagai satu reformasi. Mengambil keputusan untuk memansuhkan pencen penjawat awam baharu secara pukul rata antara salah satu pendekatan reformasi yang tidak diingini rakyat.

“Benar, bebanan fiskal 12 peratus bagi perbelanjaan mengurus digunakan semata-mata untuk pencen. Namun ia bukan tiket kepada kerajaan untuk memilih kaedah yang memukul rata seluruh sektor awam.

“Masa hadapan sektor awam negara khususnya dalam bidang kritikal seperti sektor kesihatan bakal runtuh melihatkan ketidakseimbangan insentif serta pelbagai masalah yang membelenggu sektor kesihatan awam negara,” hujah pandangan mereka.

Ditambah pula dengan isu doktor kontrak ujar kenyataan itu, ia memerlukan daya kemampuan menjana pendapatan yang hebat oleh pihak kerajaan serta tekad politik serius dalam melawan masalah sistemik.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainil Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi telah dipetik dalam kenyataan tersebut.

Menurut pensyarah itu, kesan keputusan kerajaan ini akan menjejaskan minat orang muda untuk mengisi perjawatan dalam tiga sektor penting iaitu pendidikan, keselamatan dan kesihatan.

Mereka menyifatkan hal-hal yang perlu direformasikan betul-betul pihak kerajaan tidak pula melakukan langkah yang sepatutnya seperti pelaksanaan sistem cukai yang telus dan berkesan dalam menjana pendapatan baharu negara.

Kerana tegas mereka, penambahan pelbagai cukai tidak efisian yang perlu ditanggung rakyat hanya meninggikan kos sara hidup dengan kesan positif tidak optimum untuk kewangan negara.

Profesional Istiqamah juga mendesak agar kerajaan menghentikan lantikan ahli politik yang tiada merit dalam posisi penting, contohnya, pelantikan anak Perdana Menteri pada posisi Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan.

“Serta ahli politik yang telah ‘dibeli’ pada posisi penting seperti Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL). (Juga) Menghentikan amalan tadbir urus lapuk yang berat sebelah dan merosakkan nilai demokrasi.

“Seperti tindakan menghentikan pemberian royalti serta pelanggaran janji manifesto. Terengganu masih menantikan hampir RM1 billion wang royalti tahun 2023 yang sepatutnya dibayar Kerajaan Pusat.

“(Termasuk) Usaha membasmi rasuah secara serius dan tanpa diskriminasi, bukan lakonan dan retorik seperti menjadikan kes rasuah sebagai senjata menekan musuh politik serta membebaskan rakan kerjasama politik daripada kes mahkamah,” ujar mereka.

Profesional Istiqamah malah berpandangan, Dasar Ekonomi Baharu yang segar bukan berkiblatkan entiti asing serta merugikan rakyat sendiri juga turut diperlukan dalam menangani situasi ekonomi kini.

Mereka memetik kritikan Pakar Ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai yang menyifatkan dasar ekonomi Madani bukan perkara baharu melainkan mengikut skrip International Monetary Fund (IMF) di mana dikenali sebagai entiti antarabangsa yang telah merosakkan ekonomi beberapa negara.

“Melalui siri-siri reformasi sejati yang sepatutnya dibuat ini, barulah Kerajaan Madani layak untuk berbangga dengan reformasi yang dibawakan mereka. Jika reformasi yang disajikan kepada rakyat hanyalah bersifat kosmetik, yakinlah bahawa hasil yang bakal dirasai kerajaan adalah perasaan marah dan meluat oleh rakyat,” ujar mereka. – HARAKAHDAILY 2/2/2024

- Advertisement -