PAT 2024 mencungkil bakat peserta

- Advertisement -

KANGAR: Orang ramai dipelawa menyertai pertandingan membina dan merekabentuk danau tradisional sempena Pesta Angin Timur Perlis 2024 (PAT 2024) yang diadakan selama tiga hari bermula 1 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Warisan dan Budaya, Wan Badariah Wan Saad berkata, penyertaan dibuka kepada semua komuniti kampung seluruh negeri.

“Menerusi pertandingan ini, ia boleh menjadi platform kepada orang awam untuk menunjukkan kreativiti  dalam membina dan merekabentuk dangau tradisional.

“Selain dapat memupuk kerjasama antara penduduk kampung,” katanya kepada HarakahDaily

- Advertisement -

Menurutnya, peserta yang berminat boleh mendaftar melalui pengimbasan kod QR yang tertera dalam poster iklan yang disediakan.

Pertandingan itu merupakan anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri dan Persatuan Pelukis Negeri Perlis.

Wan Badariah Wan Saad

Wan Badariah menyatakan, pada tahun lalu PAT diadakan di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat dan tahun ini  akan berlangsung di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Arau.

“Antara kelainan yang dibawa pada tahun ini ialah Pertandingan Silat Tempur, Pertandingan Kayak, Pertandingan Kayuh Gerek Atas Titi serta acara istimewa Pembuatan Garam Belacan Teramai yang bakal direkod dalam Malaysia Book Of Record.

“Lebih istimewa orang ramai juga boleh merasai pengalaman menaiki belon udara panas,” katanya.

Pemenang platinum (pertama) bakal membawa pulang wang tunai RM2,000 manakala emas (kedua) RM1,500 dan perak (ketiga) RM1,000 sementara peringkat gangsa pula berjumlah RM500.  HARAKAHDAILY  2/2/2024

- Advertisement -