
KUALA LUMPUR: Keberanian luar biasa dipamerkan kaum wanita di Palestin dalam mendepani kezaliman rejim Israel telah mendapat perhatian dunia.
Ahli Jawatankuasa Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA), Amal Hadaya mengimbau pengalaman aktivis Maryam al-Afifi, gadis palestin dalam menghadapi kekejaman Zionis Israel di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis.
“Saya teringat satu kisah, aktivis Maryam al-Afifi yang telah ditahan tentera Zionis Israel kerana mempertahankan penempatan Sheikh Jarrah.
“Mereka antara simbol keberanian dan kecekalan wanita Palestin yang harus diiktiraf dunia sebagai wirawati global menentang kejahatan, keganasan, kezaliman dan penindasan,” kongsinya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya.
Pada Mei, 2021, video Maryam yang ditangkap rejim Zionis Israel di Baitulmaqdis menjadi tular di media sosial dan menarik jutaan penonton di seluruh dunia.
Bukan sahaja kerana berita gadis ini diserang dan ditangkap oleh Zionis srael ketika tunjuk perasaan di kejiranan Sheikh Jarrah, tetapi dia yang ketika itu bertudung merah dilihat masih lagi mampu tersenyum.
Momen inilah yang menjadi tular di seluruh dunia – seorang gadis Palestin bertudung merah yang masih lagi cekal untuk tersenyum manis biarpun dalam menghadapi layanan ganas polis Israel pada ketika itu.
Tambah Amal Hadaya, dengan keberanian, kecekalan luar biasa wanita Palestin tidak mungkin dapat ditandingi mana-mana kelompok wanita lain pada masa ini.
“Hakikatnya, pengorbanan dan keberanian wanita Palestin itu seperti jelmaan semangat Al-Khansa’ binti ‘Amr RA yang memberi sokongan dan semangat kepada keempat-empat puteranya sehingga mereka gugur syahid di medan perang pada zaman Rasulullah SAW,” ujarnya.
Tambah Amal, Keberanian dan kecekalan luar biasa dimiliki wanita Palestin perlu dijadikan contoh serta ikutan.
Paling penting daripada apa yang diserlahkan pengalaman Maryam itu, katanya, ialah semangat untuk bangkit daripada penindasan, kemusnahan dan juga memahami apa perlu dibuat bagi pertahan maruah diri, keluarga dan tanah air serta terbabit secara proaktif dalam isu diperjuangkan. – HARAKAHDAILY 2/2/2024




















