
KUALA LUMPUR: Penumpuan angin dijangka berlaku menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan melanda kawasan Malaysia Timur sehingga 7 Februari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata, ramalan cuaca signifikan itu berdasarkan analisis model cuaca di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, MET Malaysia, sudah mengemaskini amaran hujan berterusan di Sabah berkuat kuasa sehingga 3 Februari manakala di Sarawak, berkuat kuasa dari 3 hingga 4 Februari.
“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu dalam hantaran kenyataan berasingan di Facebook METMalaysia, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang telah dikeluarkan dijangka berlaku di Sarawak, di Sibu (Selangau) dan Mukah sehingga jam 4 petang ini.
Tambahnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2024




















