
ALOR SETAR: Bantuan Tabung Perubatan Sejahtera merupakan salah satu pakej kebajikan yang ditawarkan kerajaan negeri kepada pesakit kronik yang memerlukan rawatan susulan ke hospital secara berkala.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Majer (B) Mansor Zakaria, untuk 2024, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk dimanfaatkan di beberapa hospital tertentu dan pusat kesihatan yang dikenal pasti.
Jelasnya lagi, hospital berkenaan adalah Hospital Sultanah Maliha (Langkawi), Hospital Kulim, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Baling dan Hospital Pendang.
Manakala dua pusat kesihatan yang dipilih iaitu Pusat Kesihatan Pendang dan Kulim.
“Bantuan Tabung Perubatan Sejahtera ini antara pakej sumbangan kerajaan negeri untuk rakyat Kedah dari kalangan B40, asnaf, miskin dan berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan peralatan perubatan.
“Pemohon perlu mengemukakan surat pengesahan daripada pakar perubatan dan akan dipertimbangkan sejumlah peruntukan yang sesuai untuk meringankan beban mereka,” jelasnya di sini.
Kata Mansor lagi, melalui tabung berkenaan, pesakit yang layak akan dibiayai tidak lebih daripada RM3,000 termasuk kos tambang dan penginapan sepanjang menerima rawatan berjumlah RM200.
Pemohon ujarnya boleh mendapatkan borang permohonan melalui Jabatan Khidmat Sosial di hospital dan pusat kesihatan yang dikenalpasti.
“Bantuan ini tiada had umur tetapi syaratnya anak kelahiran Kedah atau salah seorang (ibu dan ayah) kelahiran negeri ini atau mana-mana rakyat yang telah bermastautin di sini lebih daripada lima tahun,” tambah beliau lagi.
Mengulas lanjut, kata beliau setiap pemohon boleh mendapat bantuan tidak lebih RM3,000 secara one-off tetapi dalam kes tertentu, sekiranya pesakit memerlukan bantuan lebih, Jabatan Khidmat Sosial boleh membuat jusfikasi dan mengemukakan kepada pihaknya untuk kelulusan.
Dalam pada itu tambahnya, pihaknya juga menyediakan sebanyak 19 item yang dibenarkan melalui tabung bantuan ini, antaranya kerusi roda, peralatan perubatan seperti alat tekanan darah, ‘injuction pump’ dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 1/2/2024











