
KOTA BHARU: Penutupan jalan sehala dari simpang empat Padang Layang, Kota Bharu menghala ke simpang Tiga Tendong, Pasir Mas akan mulai ditutup sementara bermula Ahad (4 Feb) hingga Isnin (5 Feb) sempena majlis solat hajat yang akan diadakan minggu hadapan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, Dr Hasnah Ramli.
Menurut beliau, penutupan jalan itu bermula pada 4 hingga 5 Februari mulai jam 8 malam (Ahad) hingga jam 12 tengah hari (Isnin) bagi tujuan keselamatan dan persiapan tempat di atas jambatan berkenaan.
Majlis tersebut turut akan diadakan bersama Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.
“Bagi tujuan keselamatan dan persiapan tempat di atas jambatan tendong sempena Majlis Solat Hajat Bersama Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Nassuruddin Daud kita akan menutup sementara bagi jalan terlibat.
“Segala kerjasama serta tindakan dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/2/2024




















