10 pelajar Perlis akan lanjut pelajaran di Turkiye

Rushdan Rusmi (paling kanan) melawat UiTM Shah Alam untuk kenal pasti kriteria pemilihan pelajar ke Turkiye.
- Advertisement -

PADANG BESAR: Seramai 10 pelajar dari Perlis akan dihantar melanjutkan pengajian di Gedik University Turkiye bagi memperkukuhkan kerjasama pendidikan teknikal antara negeri ini dan Turkiye.

Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, penghantaran pelajar berkenaan adalah hasil lawatan kerja delegasi Padang Besar ke Istanbul, November lepas.

- Advertisement -

“Pada November lepas, kita telah menerima jemputan rasmi untuk lawatan kerja ke dua universiti di Istanbul dan hasil lawatan itu, kita berjaya mewujudkan kerjasama pendidikan teknikal.

“Kesenimbungan dari lawatan ini, kita berjaya adakan perbincangan bagi pelarasan cadangan pemilihan 10 pelajar peringkat awal untuk dihantar dengan tajaan sepenuhnya oleh Gedik University Turkiye.

“Walaupun ditawarkan lebih ramai, kami memutuskan hanya 10 pelajar dari Perlis terpilih yang akan membawa nama baik negara ke sana pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Rushdan, pelajar berkenaan akan dipilih dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).

Kerjasama itu melibatkan Ahli Parlimen Padang Besar bersama Pengarah Institut Penyelidikan Pembuatan Pintar (SMRI) UiTM, Profesor Dr Yupiter Harangan Prasada Manurung dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Al-Jazari, Dr Irfan Abd Rahim yang juga pensyarah UniMAP.

“Gedik University Turkiye juga menghantar sampel produk keluaran kilang mereka sebagai bahan percubaan pendidikan di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -