Wakil rakyat yang khianat diambil tindakan

Majlis Pimpinan Tertinggi sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Muhyiddin dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Kuala Lumpur pada 28 Jan 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi.

Itu antara agenda yang dibincangkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain isu terkini ekonomi negara dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, di sini, malam tadi.

- Advertisement -

Selaras dengan ketegasan itu, Setiausaha Agung Bersatu, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.

“Dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, MPT juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Muhyiddin selaku Presiden, bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Perdan Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada masa yang sama, beberapa langkah bagi membugarkan Bersatu juga telah diambil antaranya dengan melantik tiga ahli MPT baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Dato’ Azman Nasrudin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi Malaysia, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi,” katanya.

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju merombak kepimpinan Bersatu di peringkat negeri dengan menggugurkan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Abdul Rashid Asari sebagai peneraju kepimpinan parti masing-masing di Negeri Sembilan dan Selangor.

“Perubahan kepimpinan Bersatu di peringkat negeri juga turut dilaksanakan, yang mana Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor baharu, manakala Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan baharu.

“Parti juga mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Ahmad Faizal dan Abdul Rashid yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini,” kata Hamzah.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan beberapa lantikan pengerusi biro baharu juga dilakukan.

Beliau mengumumkan Pengerusi Biro Ekonomi disandang oleh Datuk Dr Radzi Jidin manakala Dato’ Sri Saifuddin Abdullah dilantik menerajui Biro Antarabangsa Bersatu.

“Dato’ Azman Nasrudin dilantik sebagai Pengerusi Biro Pendidikan, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan pula sebagai Pengerusi Biro Latihan serta Fadzillah Mohd Pilus dilantik Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu,” katanya.  HARAKAHDAILY  29/1/2024

- Advertisement -