
KLANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh mengucapkan tahniah dan syabas kepada jentera muslimin dan muslimat serta dewan-dewan di kawasan Kapar yang memberikan komitmen bagi memastikan perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan.
Dalam pada itu, beliau bernekad menyambut seruan Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap ADUN Paya Jaras, Datuk Dr Ab Halim Tamuri agar PAS Kapar memastikan DUN dan parlimen menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Hari ini kita bertemu untuk bermuhasabah gerak kerja yang telah kita jalankan di tiga-tiga DUN dalam PRN yang lepas.
“Alhamdulillah masing-masing telah membentangkan slot analisis masing-masing dan kemudahannya kita sama-sama melihat kekuatan dan kelemahan keluaran ancaman yang ada dan kita disusuli dengan bengkel untuk pembambahbaikan untuk menuju PRU16.
“Saya juga begitu gembira semua jentera yang hadir hari ini bersifat terbuka dan saling memberi pandangan, tegur-menegur dan inilah kekuatan kita di Kapar ini, Insya-Allah,” katanya dalam program post-mortem PRN PAS kawasan Kapar, di Dewan Alnia, di sini.
Majlis turut dihadiri, Ahli Parlimen Kapar merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Halimah Ali.
Noor Najhan turut berpesan kepada ahlinya agar sentiasa bertindak positif dan bersangka baik dengan apa jua perkara yang telah terjadi kerana pasti akan ada hikmah di sisi Allah SWT.
“Dalam masa yang sama juga kita memikirkan persoalan pelapis kepada kepimpinan yang ada di Kapar pada hari ini.
“Maka sebab itu saya minta Dewan Pemuda perkasakan perkaderan dan masa yang sama memperkasakan juga persatuan siswa sebab di Kapar ini ramai anak-anak dan ahli kita yang memang pengajian pembelajaran di peringkat universiti dan kita mengharapkan mereka tamat pengajian mereka dan berkhidmat di dalam PAS kawasan Kapar ini.
“Kita minta supaya jentera kita dilengkapkan dan disusun atur semula jika perlu supaya latihan dan taklimat untuk setiap portfolio dapat kita (laksanakan untuk) tempoh yang ‘tenang’ ini.
“Kita nak tunggu saat-saat akhir baru kita menelitikan penerangan tentang peranan dan portfolio di bawah jentera pilihan raya kita,” katanya.
Beliau juga berharap agar setiap ahli dapat mengambil bahagian dalam penerangan dan sosial media seperti memberi reaksi ‘like’, komen dan kongsi (pautan) kepada rakan yang lain agar (postingan) sosial media kelihatan meriah.
“Dalam masa yang sama kita nafikan kita perlukan sokongan daripada orang bukan Islam. (Hal demikian) perlu untuk mendekati mereka dengan lebih mesra…kita mendekati mereka bukan hanya untuk pilihan raya semata-mata, tapi kita melakukan gerak kerja mulai sekarang Insya-Allah.
“Akhirnya saya mengharapkan kita akan sambung dengan retreat PAS kawasan dan sebahagiannya apa yang kita bincang tadi dan untuk PAS kawasan.
“Kita akan buat awal bulan Mac nanti untuk menyusun terus hala tuju PAS kawasan (bagi) empat tahun akan datang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/1/2024











