Bot tunda ditahan lakukan dua kesalahan

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menyita tiga bot pukat tunda tempatan atas kesalahan beroperasi kurang enam batu nautika dari pantai di kawasan perairan Merchang, Marang.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Indutsri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim mengucapkan syabas dan tahniah kepada jabatan berkenaan diatas kejayaan pertama menangani aduan nelayan di negeri ini.

“Nelayan kita (sering) berhadapan dengan ancaman pencerobohan daripada bot-bot pukat tunda khususnya daripada negeri jiran.

“Alhamdulillah, walaupun dalam keadaan laut bergelora penguatkuasa Jabatan Perikanan Negeri Terengganu bergadai nyawa istilahnya ombak kambus bot, maknanya ombak yang besar (ketika) menjalankan operasi.

“Hasilnya Jabatan Perikanan berjaya menahan tiga buah bot pukat tunda daripada negeri jiran yang melanggar Akta Perikanan 1985,” katanya sambil menambah tangkapan dibuat pada jam pukul 1 hingga 2 pagi tadi.

Mengulas lanjut kata Azman, terdapat dua kesalahan yang dilakukan oleh bot tunda yang ditahan.

“Pertama Akta Perikanan 1985 menetapkan bahawa 12 batu nautika adalah tangkapan nelayan negeri tersebut maknanya 12 batu nautika daripada pantai Terengganu adalah kawasan zon tangkapan ekslusif untuk nelayan Terengganu sahaja.

“Jadi apabila ada bot nelayan negeri lain yang menceroboh bermakna mereka telah melanggar akta perikanan walau dengan apa cara tangkapan sekalipun.

“Yang kedua aktiviti pukat tunda hanya dibenarkan 12 batu nautika ke atas, jadi ketika tiga buah bot ditangkap ini telah melakukan aktiviti penangkapan menggunakan pukat tunda pada jarak 6 batu nautika lebih kurang yang tentu sekali melanggar akta perikanan 1985,” ujarnya pada sidang media, di Pelabuhan Chendering, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, semua bot berkenaan dioperasi oleh seramai 15 orang kru warga asing daripada Myanmar yang berusia anggaran antara 21 hingga awal 50 an.

“Setakat pemeriksaan awal dokumen pengenalan diri mereka agak meragukan ini adalah urusan kepada jabatan Imigresen untuk menentukan dari segi kesohihan dokumen dan tindakan-tindakan lanjut selepas daripada itu.

“Jadi dari segi Jabatan Perikanan mereka telah melaksanakan tanggungjawab dan ia sebenarnya satu isyarat kepada penceroboh yang mencuri khazanah laut kita di perairan Terengganu bahawa walaupun berhadapan dengan musim Monsun Timur Laut dalam keadaan laut bergelora, penguatkuasa kita sebenarnya tidak tidur dan tidak dijadikan alasan faktor cuaca untuk kita tidak melakukan operasi,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan tiga buah bot pukat tunda berkenaan merupakan yang pertama pada tahun ini.

“Tahun lepas jabatan perikanan bersama dengan polis marin dalam 28 operasi telah berjaya melakukan 47 tangkapan.

“Satunya adalah bot nelayan asing daripada Vietnam dan bakinya adalah pencerobohan dari nelayan tempatan negeri jiran,” katanya.

Azman berkata, semua bot yang disita terbabit dianggar bernilai RM3 juta, manakala untuk hasil tangkapan terdiri dari ikan campur termasuk sotong dianggarkan berjumlah RM500,000. – HARAKAHDAILY 29/1/2024

- Advertisement -