Kelantan promosi TMK 2024 ke luar negara

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengadakan promosi Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024 di luar negara secara berperingkat sebagai usaha untuk meningkatkan sektor pelancongan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Kamaruddin Md. Nor berkata, langkah berkenaan sebagai salah satu usaha untuk menarik pelancong dari negara terlibat.

Katanya, melalui usaha yang dibuat pihaknya turut mengemukakan cadangan penerbangan terus secara sewa ke negeri Kelantan.

“Promosi berkenaan akan diadakan di Padang Sumatera Barat, Indonesia, Singapura, Guangzhou, China dan ITB Berlin, Jerman.

“Usaha menarik pelancong dari negara tersebut telah mula berjalan bila minggu lalu beliau bersama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan mengadakan lawatan ke Guangzhao, China dalam rangka mempromosikan Kelantan atas jemputan sebuah persatuan Islam di sana.

“Langkah itu boleh dilaksanakan susulan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) mampu menerima pendaratan pesawat besar seperti Boeing 737 dan Airbus 320,” katanya di sini.

Mengulas lanjut katanya, terminal baharu LTSIP mampu menampung ketibaan lebih ramai pelancong, memandangkan mereka seboleh mungkin tidak mahu transit untuk ke mana-mana destinasi.

“Misi kita untuk memberi ruang pada pelancong China datang ke Kelantan. Sepanjang di sana saya berkesempatan berjumpa pihak yang berkaitan pelancongan serta masyarakat Islam di sana.

“Pada pertemuan itu juga kita turut mendapat maklumat mengenai kekurangan pelancong Cina mengunjungi Kelantan adalah  disebabkan mereka tidak kenal Kelantan kecuali Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/1/2024

- Advertisement -