
KUALA LUMPUR: Keadaan negara sehingga hari ini masih tidak terkawal akibat pelbagai masalah, antaranya kenaikan harga barangan dan ketidaktentuan pasaran bagi barangan keperluan harian.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Sentul, Dato’ Jasri Jamaludin, berkata, walaupun PH-BN sudah lebih setahun menjadi kerajaan tetapi masih tidak dapat mencari penyelesaian kepada permasalahan rakyat.
Kata beliau, para menteri yang ada seperti tidak tahu menjalankan kerja masing-masing dan tidak tahu apa yang perlu dibuat sedangkan rakyat semakin gelisah akibat terbeban dan terhimpit dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum.
“Sampai bilakah penderitaan ini akan berterusan? Langkah Kerajaan Madani seperti penjualan Rahmah untuk barang keperluan terpilih, nyata tidak memberi apa-apa impak.
“Rakyat marhaen terus terbeban dengan keadaan ekonomi negara masa kini,” tegasnya.
Beliau berkata, daripada melaksanakan penyelesaian jangka pendek seperti jualan murah Rahmah, kerajaan harus fokus dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi dan pelan jangka sederhana dan panjang bagi menangani segala masalah rakyat.
Katanya, antara lain pelaksanaan dasar ekonomi yang lebih baik dalam mengawal selia harga barangan dan perkhidmatan untuk memastikan persaingan yang adil dan saksama dalam pasaran.
Ketua Bahagian Bersatu Maran itu kesal kerana Perdana Menteri begitu gigih mencari kesalahan musuh-musuh politik dan seperti mengabaikan kesusahan yang dihadapi rakyat.
“Sejak beliau mengambil tampuk pemerintahan negara lebih kurang setahun lepas, banyak masa dibazirkan ke arah ‘membalas dendam’ musuh-musuh politik, antaranya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Haji Hadi Awang dan terbaharu, Tun Daim Zainuddin dan Tun Mahathir Mohamed.
“Tidak nampak tumpuan diberikan oleh pihak beliau untuk mengurus kesejahteraan rakyat dan ekonomi,” ujarnya.
“Sudah-sudahlah beretorik dan berpolitik sepanjang masa. Rakyat masih termangu-mangu dan semakin gelisah, menanti apakah penyelesaian sebenar kerajaan terhadap masalah sosioekonomi negara.
“Adakah kerajaan Madani ini hanya sekadar nama yang tidak mempunyai roh,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 24/1/2024











